Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraPerak

Hijrah Rasulullah SAW Wajib Dihayati, Jadi Inspirasi

By 19 Julai 2023Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Suzira Zainol Abidin (Perak)/Bahagian Korporat SUK Perak

IPOH, 19 Jul (Malaysiaaktif) – Peristiwa hijrah Rasulullah SAW dan para sahabat yang berlaku 1445 tahun lalu, tidak akan berulang lagi, tetapi semangat dan kesediaan melakukan hijrah wajib terus dihayati, dijadikan sumber inspirasi, dihidupkan dan disemaikan dalam jiwa setiap insan, terutama untuk melayari bahtera kehidupan mengharungi lautan dunia yang terus bergelombang.

Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzudin Shah bertitah manusia kini berada di abad ke-21, abad yang menyaksikan pembangunan teknologi yang mengupayakan manusia merentasi dunia yang bagaikan tiada lagi sempadan.

“Dunia kini perlu dilihat dengan lensa yang lebih terbuka dan minda yang lebih optimis.  Dunia kini memerlukan manusia yang bersedia menerima realiti semasa dan manusia yang bersedia meninggalkan tradisi yang usang dan tafsiran yang jumud, agar manusia dapat mengeluarkan diri daripada kepompong kejahilan,” titah baginda pada Majlis Sambutan Kemuncak Maal Hijrah Negeri Perak 1445H di Hotel Casuarina@Meru, di sini pagi tadi.

Ummah juga diingatkan bahawa cabaran yang semakin rencam dan rumit memerlukan perubahan minda – perubahan budaya yang dapat disesuaikan mengikut tuntutan masa, namun tetap memenuhi nilai tauhid agar manusia tidak terpesong daripada tafsiran hidup sebenar.

“Umat Islam hendaklah bersedia, malah wajib melakukan penghijrahan minda – penghijrahan budaya agar berupaya memahami dan mentafsirkan isu-isu semasa daripada pelbagai dimensi serta bertenaga untuk menangani dan menguasai situasi semasa, terutama revolusi teknologi yang sedang pesat berlaku,” titah baginda.

-ZS-

Tinggalkan komen anda