
Laporan/foto: Mohd Nizwan Mohd Daini (Sabah)
KOTA KINABALU, 24 Jul (Malaysiaaktif) – Wayang pacak yang dianjurkan Balai Seni Lukis Sabah mendapat sambutan meriah daripada pengunjung yang hadir.
Menurut Pegawai Bahagian Seni Visual, Intan Munirah Hamzah, 37, operasi galeri dipanjangkan hingga ke malam bagi memberi peluang kepada pelawat menikmati aktiviti diadakan selain berkumpul bersama keluarga.
“Wayang pacak ini dapat mengeratkan silaturahim antara keluarga selain menghargai karya-karya artis lokal di Sabah.
“Bagi pengisian malam ini selain wayang pacak terdapat juga aktiviti lain antaranya pameran seni malam, Art 4 Austism Sabah, Piknik, ARTSi KRAFTi, KK Culture & Creative Car Boot Fair,” katanya ketika ditemui pada Program Nite Picnic@Kulung di Balai Seni Lukis Kota Kinabalu, di sini pada Sabtu.
Menurut salah seorang pengunjung, Syariefah Nadzirah Shamsul, 29, program ini memberi kesan positif kepada kita dengan adanya pelbagai aktiviti menarik pada malam ini.
“Sebagai suri rumah, aktiviti seperti ini dapat mengeratkan hubungan antara keluarga,” kongsinya.
Bagi Ahmad Zuhardi Hussain, 42, wayang pacak ini menyeronokkan dan memberi peluang meluangkan masa berkualiti bersama keluarga.
“Saya berharap pada masa akan datang aktiviti ini dapat dilakukan dan diteruskan,” jelasnya.
Untuk rekod, wayang pacak ini diadakan tiga kali setahun dan pada bulan Julai ini merupakan kali ketiga yang dianjurkan oleh Balai Seni Visual Sabah.
-ZS-