
Laporan/foto: Agku Marzuki Ag Latip/Mohd Maqdi Salleh (Sabah)
TAWAU, 30 Jul (Malaysiaaktif) – Kerajaan menyasarkan usahawan atau peniaga di negeri ini untuk memiliki sijil halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).
Menurut Pembantu Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan Sabah, Datuk Andi Muhammad Suryady, sijil halal memberi kredibiliti kepada jenama apabila pengguna tidak perlu ragu-ragu terhadap sesuatu produk.
“Dengan adanya sijil halal, pengguna yakin terhadap bahan yang digunakan tetapi terhadap kualiti dan proses pembuatan makanan atau produk terbabit.
“Ini bagi memastikan semua bahan produk bukan sahaja bebas daripada bahan-bahan yang diharamkan, tetapi juga proses pembuatan makanan itu dijamin kebersihan dan tinggi kualiti,” jelasnya ketika ditemui pada Program Kursus Asas Pensijilan Halal di sini baru-baru ini..
Tambahnya, kursus ini satu pendedahan awal kepada usahawan mikro untuk memohon sijil halal bagi mengembangkan perniagaan mereka ke peringkat global.
Andi mengesa agar usahawan mendapatkan sijil halal bagi membantu produk mereka berkembang dengan lebih baik lagi.
“Sijil halal merupakan satu kemestian untuk kita terlibat dalam bidang Fast Moving Consumer Goods (FMCG) & Food and Beverage (F&B),” ujarnya.
Kementerian Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan Sabah (MIDE) membantu memasarkan produk perniagaan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) di negeri Sabah bukan hanya di peringkat domestik malah di peringkat antarabangsa.
-ZS-