Skip to main content
Berita TempatanBerita TimurPahang

SMK Padang Tengku Lipis Johan Pertandingan Sketsa Rukun Negara Peringkat Negeri Pahang

By 12 Ogos 2023Ogos 14th, 2023Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Juhaisa Azrin/Radiah Rahim/Sh. Nurrul (Pahang)

KUANTAN, 12 Ogos (Malaysiaaktif) – Sekolah Menengah Kebangsaan Padang Tengku berjaya mencuri perhatian juri dengan persembahan menarik dan sekaligus muncul juara Sketsa Rukun Negara Peringkat Negeri Pahang yang diadakan di Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah (POLISAS), Kuantan, baru-baru ini.

Dengan menamakan kumpulan mereka sebagai ‘KOME’, para penonton telah dihidangkan dengan kreativiti persembahan yang menghiburkan serta sarat dengan mesej-mesej kenegaraan dengan tajuk “Yang Tua Dihormati, Yang Muda Disayangi”.

Selain muncul sebagai johan, salah seorang peserta kumpulan ini telah dinobatkan sebagai Pelakon Wanita Terbaik.

Nur Khayra Irsyada Ahmad Sohairi, 16, berkata minatnya terhadap seni lakon dan drama membuat dia tidak pernah jemu menyertai pertandingan skesta peringkat sekolah dianjurkan dan tidak menyangka pada kali ini beliau menang.

“Alhamdulillah, saya tidak menyangka akan menang sebagai Pelakon Wanita Terbaik dan diharapkan saya dapat sertai pertandingan sketsa ini lagi,” ujarnya.

Dengan kemenangan tersebut, secara automatik SMK Padang Tengku akan mewakili Negeri Pahang di pertandingan peringkat Kebangsaan pada bulan Oktober nanti.

Pertandingan tersebut turut disertai oleh 9 buah sekolah lain yang menjadi ahli Kelab Malaysiaku iaitu SMK Lepar, Pekan (Naib Johan), SMK Rompin (Ketiga), selain SMK Kg. Raja Cameron Highlands, SMK Seri Bera, SMA Persekutuan Bentong, SMK Seri Damai Kuantan, SMK Temerloh, SM Sains Tengku Abdullah Raub, dan SMK Tengku Ampuan Afzan Chenor, Maran.

Program anjuran Jabatan Penerangan Malaysia itu berkonsepkan seni lakon dengan mengadaptasi Rukun Negara sebagai elemen utama persembahan untuk meningkatkan semangat patriotik, bersatu padu dan mewujudkan semangat kerja berpasukan dalam kalangan pelajar.

-ZS-

Tinggalkan komen anda