Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraPerak

Kerian Bolot Empat Kejuaraan Keceriaan Bulan Kebangsaan

By 2 September 2023Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Nurlaila Abdul Azid/Mohammad Ezwandi (Perak)

IPOH, 2 Sep (Malaysiaaktif) – Daerah Kerian berjaya membolot empat kejuaraan daripada sembilan tempat yang dipertandingkan pada Pertandingan Keceriaan Bulan Kebangsaan sempena Sambutan Bulan Kebangsaan peringkat Negeri Perak 2023.

Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan menyampaikan hadiah kemenangan kepada semua pemenang pada Majlis Jamuan Teh dan Penyampaian Hadiah sebaik selesai Majlis Sambutan Hari Kebangsaan 2023 di Stadium Indera Mulia, di sini pada Khamis.

Menariknya bagi kategori sekolah menengah, ketiga-tiga tempat yang dipertandingkan disapu bersih oleh sekolah yang mewakili daerah itu.

Sekolah Menengah Kebangsaan Bagan Serai (SMKBS) muncul johan diikuti naib johan SMK Kuala Kurau dan SMK Raja Lope Nor Rashid di tempat ketiga.

Bagi kategori sekolah rendah, Sekolah Kebangsaan (SK) Teluk Medan di Bagan Serai diumumkan sebagai naib johan sementara johan dimenangi oleh SK Rapat Setia dan SK Parit di tempat ketiga.

Majlis Perbandaran Teluk Intan menjuarai kategori bangunan kerajaan dan swasta diikuti Majlis Daerah Tanjung Malim (naib johan) dan Majlis Daerah Perak Tengah (tempat ketiga).

Pengetua SMKBS Yani Kimi berkata beliau amat bersyukur apabila SMKBS dinobatkan sebagai johan bahkan apabila tersenarai antara tiga sekolah terbaik sudah cukup menggembirakan warga sekolahnya.

“Para pelajar menunjukkan inisiatif dan semangat kerjasama yang tinggi dalam usaha membina pintu gerbang selain membawa pelbagai barangan kitar semula bagi tujuan hiasan.

“Walaupun persiapan dibuat dalam tempoh masa singkat dan pelajar sedang menghadapi minggu peperiksaan, warga SMKBS tetap komited memberikan kerjasama padu menceriakan kawasan sekolah dengan penuh semangat madani,” ujarnya ketika dihubungi semalam.

-ZS-

Tinggalkan komen anda