
Laporan/foto: Radiah Rahim/Sh. Nurrul (Pahang)
KUANTAN , 1 Sep (Malaysiaaktif) – Sambutan Hari Kebangsaan 2023 Peringkat Negeri Pahang disambut meriah oleh rakyat Pahang yang diserikan lagi dengan Keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’Ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Bagi Nur Syafiqah Mohammad Rozi, 22 yang datang bersama ibunya Nik RosFazilah Othman, 48, dari Kampung Kurnia, Kuantan, melahirkan rasa gembira apabila dapat hadir menyaksikan perarakan dan perbarisan Hari Kebangsaan pada tahun ini.
“Kali kedua kami datang untuk menyaksikan acara tahunan ini dan merasakan ia paling meriah berbanding tahun lepas” katanya.
Manakala dua lagi pengunjung Chan Ngak Khuang, 32, hadir bersama isterinya Wo Hui Ying, 30, juga memberikan pandangan yang sama sambutan tahun amat meriah dan mereka berasa seronok menyaksikan pelbagai persembahan dan gelagat orang ramai yang hadir.
“Saya hadir menyemarakkan Hari Kebangsaan agar semangat patriotik dan cintakan tanah air untuk diterapkan kepada anaknya sejak awal,” ujarnya.
Manakala salah seorang peserta perbarisan yang ditemui Samsuri Salman, 70, mewakili Persatuan Kebajikan Skuad F69 menetap di Kelantan merasa teruja apabila dijemput untuk menyertai perbarisan pada kali ini di Pahang.
Beliau amat teruja bersama 43 orang anggota yang menyertai jemput ini dari seluruh Malaysia.
“Inilah satu cara bagi menzahirkan kecintaan kepada negara dan perlu ditonjolkan kepada generasi muda kini,” katanya.
Perarakan dan perbarisan pada tahun ini melibatkan 4489 orang peserta iaitu berjalan kaki seramai 3324 orang, menaiki kenderaan seramai 1165 orang dan bilangan kenderaan yang menyertai sebanyak 809 buah dari pelbagai jabatan, agensi kerajaan, badan bukan kerajaan serta orang awam.
Turut hadir Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Pahang, Setiausaha Kerajaan Negeri dan Ketua-Ketua Jabatan.
-ZS-