
Laporan/foto: Mawarni Ismail/Amielia Zulkifli (Kerian)
TANJONG PIANDANG, 13 Sep (Malaysiaaktif) – Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Bogak mengekalkan kejuaraan dua tahun berturut-turut selepas berjaya mengutip sampah seberat 88kg di Pertandingan Kutipan Sampah Terberat sempena Program Santai Merdeka 2023 Sihat dan Bersih, Plogging dan 10,000 Langkah di Pantai Ban Pecah, Kuala Kurau, di sini semalam.
Program anjuran Majlis Daerah Kerian dengan kerjasama Pejabat Pendidikan Daerah Kerian itu disertai hampir 500 orang peserta melibatkan semua sekolah rendah dan menengah di daerah ini.
Guru pengiring SK Sungai Bogak Fadli Razali, 39, meluahkan rasa terharu dan gembira atas kerjasama dan semangat saling membantu anak muridnya di dalam pertandingan tersebut.
“Strategi yang kita gunakan adalah dengan mengutip sampah-sampah besar dan berat seperti kulit kelapa dan kayu hanyut.
“Selain taktik memenangi pertandingan, usaha ini juga dapat mendidik pelajar untuk cintakan alam sekitar,” ujarnya.
Program sempena sambutan Bulan Kebangsaan itu turut diselitkan dengan pelbagai aktiviti sampingan seperti menanam pokok dan penyampaian sijil penghargaan Pertandingan Keceriaan Bulan Kebangsaan Peringkat Negeri Perak 2023 oleh Pegawai Penerangan Daerah Kerian, Khairul Ferdaus Mat Jilid.
-ZS-