Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanNegeri Sembilan

Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia Menzahirkan Kasih dan Cinta kepada Negara

By 26 September 2023September 29th, 2023Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Siti Zuraida MD Nor Aidi/Siti Zuraida MD Nor Aidi (Jempol)

JEMPOL, 26 Sep (Malaysiaaktif) – Majlis Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia Peringkat Daerah Jempol Tahun 2023 serta Majlis Perasmian Astaka Sri Serting Pejabat Daerah dan Tanah Jempol telah diadakan di Astaka baru di Pejabat Daerah dan Tanah Jempol, semalam.

Menurut Pegawai Daerah Jempol, Nawal Mohamed, majlis tersebut lewat diadakan berikutan kesibukan menghadapi Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri ke-15 lalu.

“Sambutan bagi kedua-dua acara besar negara ini tetap dilaksanakan sebagai menzahirkan rasa kasih dan cintanya kita kepada negara.

“Seperti tahun-tahun sebelum ini, kita meraikannya dengan tujuan menyuburkan semangat patriotik dan mengelorakan sambutan Bulan Kebangsaan kepada semua lapisan masyarakat terutamanya generasi muda,” katanya.

Katanya lagi, salah satu pengisian bagi sambutan program ini ialah program senaman ‘aerobicthon’ selama 60 minit tanpa henti yang disertai oleh seramai 80 orang peserta dan pertandingan melukis poster kemerdekaan kakitangan agensi dan jabatan kerajaan di daerah ini.

Ahli Parlimen Jempol Shamshulkahar Mohd Deli turut memuji kejayaan Majlis Perbandaran Jempol mendapat tempat ketiga dalam Perbarisan Hari Kebangsaan 2023 Peringkat Negeri Sembilan pada 31 Ogos lalu.

“Hari ini juga kita dapat melihat Pejabat Daerah dan Tanah Jempol telah berjaya menyiapkan sebuah astaka yang indah dan baharu.

“Astaka ini telah digunakan semasa pengumuman penamaan calon untuk Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri ke-15 tempoh hari. Tahniah diucapkan dan diharapkan astaka ini dapat digunakan sebaiknya,” katanya.

-ZS-

Tinggalkan komen anda