
Laporan/foto: Md Sazali Ab Hamid (Pengkalan Hulu)
PENGKALAN HULU, 29 Okt (Malaysiaaktif) – Usaha pihak Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Air Panas dalam melaksanakan program Program Jualan Rahmah (PJR) di Dewan Terbuka Masjid Kampung Air Panas, di sini pada Jumaat membantu meringankan beban penduduk yang terkesan dengan kenaikan harga barang.
Menurut pengerusinya Sali Jemangin, 43, PJR sedikit sebanyak membantu penduduk mendapatkan barangan keperluan dengan harga yang lebih rendah berbanding di pasaran.
“Ini merupakan salah satu usaha Kerajaan Perpaduan terutama kerajaan negeri bagi membantu rakyat.
“Pihak kerajaan melalui pemimpin tempatan akan terus berusaha mencari jalan untuk meringankan beban penduduk berikutan kenaikan kos sara hidup yang dihadapi,” katanya ketika ditemui.
Sementara itu, wakil Majlis Belia Pengkalan Hulu Muhammad Hazri Mohd Rashdi, 30, berpendapat PJR ini perlu dilaksanakan secara berjadual mengikut mukim bagi memenuhi permintaan penduduk.
“Jualan seperti ini perlu dijadualkan secara tetap kerana dapat membantu rakyat yang terkesan. Sebelum satu penyelesaian mutlak dapat dilaksanakan oleh pihak kerajaan, PJR menjadi alternatif untuk mendapatkan barangan keperluan dengan harga berpatutan,” katanya.
-ZS-