Skip to main content
Berita Sabah & LabuanBerita TempatanSabah

Wayang Pacak Mendapat Sambutan Kanak-kanak

By 29 Oktober 2023Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Sitti Jakiyah Abd Rahim/Mohd Sazwan Roslan

KOTA KINABALU, 29 Okt (Malaysiaaktif) – Biarpun melalui peralihan zaman dengan tayangan layar digital, program Wayang Pacak anjuran Jabatan Penerangan (JaPen) Sabah masih mendapat sambutan dalam kalangan kanak-kanak dan remaja Kampung Kobuni, Inanam.

Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kolombong yang juga penduduk Kampung Kobuni, Daniel Azhar Dzahad, 13, berkata dia bersama rakan-rakannya datang satu jam lebih awal ke Dewan Pisompuruan untuk menonton wayang pacak.

“Saya diberitahu oleh ibu saudara saya semalam berkaitan penganjuran tayangan wayang pacak malam ini. Saya berharap akan ada lagi wayang pacak sebegini pada masa akan datang.

“Saya belum pernah lagi menonton filem ini dan ianya sangat menyeronokkan tambahan lagi bila kita menontonnya dalam suasana beramai-ramai seperti ini,” katanya ketika ditemui selepas menonton wayang pacak Filem Air Force The Movie: Selagi Bernyawa sempena Program Kita Madani, di sini pada Jumaat.

Sementara itu, pengalaman pertama kali Nur Ameera Damya Ezlan, 11, menonton wayang pacak ternyata menarik minatnya untuk menanti penganjuran program seumpaman itu pada masa akan datang.

“Saya berasa sangat gembira dapat menonton filem ini pertama kali bersama rakan-rakan dan juga keluarga lebih-lebih lagi dengan konsep wayang pacak.

“Ia merupakan pengalaman yang menarik apabila kita dapat menonton filem beramai-ramai seperti malam ini, sekaligus boleh mengeratkan tali persaudaraan antara kami,” ujarnya.

Selain tayangan wayang pacak Filem ‘Air Force the Movie : Selagi Bernyawa’ program tersebut turut diserikan dengan persembahan nyanyian berinformasi oleh artis-artis PENTARAMA JaPen Sabah dan juga kuiz kenegaraan.

Wayang pacak diadakan sempena Program Kita Madani Peringkat Negeri Sabah yang berlangsung pada 27 Oktober hingga 28 Oktober 2023 di Kampung Kobuni Inanam, Kota Kinabalu.

-ZS-

Tinggalkan komen anda