
Laporan/foto: Irina Abd Samad/Norfaizah Adnan
KUALA LUMPUR, 6 Nov (Malaysiaaktif) – Dunia digital bertindak sebagai pembolehcara yang memberikan peluang kepada komuniti ini berkomunikasi tanpa kekangan.
Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil, berkata Program Orang Kurang Upaya (OKU) Celik Digital merupakan usaha kerajaan untuk menghubungkan komuniti tersebut dengan agensi kerajaan bagi memastikan tiada golongan masyarakat terpinggir dalam pelaksanaan dasar dan inisiatif kerajaan.
“OKU berdaftar di Malaysia sehingga 30 September lalu adalah seramai 674,892 orang (sumber JKM). Manakala, menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), 15 peratus daripada sesebuah negara adalah OKU.
“Ini bermakna di Malaysia kira-kira 4.8 juta penduduk adalah komuniti OKU,” katanya.
Menurut Fahmi lagi pelaksanaan program pembangunan dan pemerkasaan digital OKU dilakukan bagi membolehkan mereka menggunakan peluang sebaik mungkin dan meningkatkan kebolehpasaran golongan itu dalam pekerjaan.
Fahmi berkata demikian ketika merasmikan program tersebut di Dewan Merbau, Pusat Komuniti Pantai Eco Park, di sini semalam.
Peserta Mohammad Nazril Bin Mohammad Napi, 22, dari Kemunting Perak, berkata program yang diadakan ini mampu memberikan peluang yang lebih luas kepada OKU menjalankan perniagaan secara dalam talian, seterusnya memberikan motivasi dan semangat untuk terus berjaya.
“Program seperti ini memberikan ilmu pengetahuan digital yang luas kepada OKU dan berharap selepas ini diadakan kepada semua golongan agar dapat berkongsi inspirasi di antara satu sama lain,” kata Nur Fatihah Jasmi, 21, dari Selangor.
Mohammad Afiq Bani, 32, dari Kota Tinggi, Johor amat bersyukur dengan bantuan MYNIC berbentuk geran sebanyak RM3,500 yang diterima banyak membantunya untuk membuat laman sesawang.
-ZS-