Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahKuala Lumpur

Program Jualan Rahmah Bakal Muncul di Kawasan Perumahan Warga Ibu Kota

By 6 November 2023Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Parameswary Lekshmnan/Muhammad Hafizuddin Abdul Halim (Kuala Lumpur)

KUALA LUMPUR, 6 Nov (Malaysiaaktif) – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (KPDN Kuala Lumpur) dan MyGrocer@Wilayah bakal menemui warga ibu kota di kawasan perumahan golongan miskin tegar dan B40.

Program Jualan Rahmah (PJR) x MyGrocer@Wilayah dijangka bermula bulan depan akan dilaksanakan sebanyak dua kali sebulan secara berjadual dengan menyasarkan 33 lokasi perumahan awam dan Projek Perumahan Rakyat (PPR) di sekitar Kuala Lumpur.

Menurut Pengarah KPDN Kuala Lumpur Ariffin Samsudin, program berkonsepkan ‘Kedai Cari Rakyat’ berskala kecil itu membolehkan golongan sasaran membeli barangan keperluan asas pada harga yang lebih murah tanpa berjalan jauh.

“Jadi, masyarakat di lokasi tersebut tak perlu susah, jalan jauh-jauh. Mereka hanya perlu turun bawah ke premis PJR tersebut untuk membeli barangan keperluan pada harga yang telah didiskaunkan kerajaan sebanyak 30 peratus,” katanya.

KPDN Kuala Lumpur turut bekerjasama dengan KK Mart melaksanakan PJR di premis KK Mart yang bertempat di kawasan perumahan awam dan PPR.

“Saya harap lepas KK Mart, akan ada lebih banyak lagi syarikat lain yang berada di lokasi perumahan B40 tampil untuk bekerjasama dengan kami bagi menjayakan program ini,” katanya.

Katanya lagi, diskaun akan diberikan pada enam barangan keperluan asas yang ditumpukan iaitu ayam, beras, minyak masak, telur ayam, bihun dan sardin.

“Namun ianya bergantung kepada keperluan masyarakat di situ,” kata Ariffin ketika ditemui pada sidang media PJR Perdana Peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di Stadium Kuala Lumpur, Cheras, di sini kelmarin.

-ZS-

Tinggalkan komen anda