
Laporan/foto: Farah Shaherza Aimi/Sh. Nurrul (Kuantan)
KUANTAN, 21 Nov (Malaysiaaktif) – Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan berangkat ke Majlis Sambutan Jubli Emas 50 Tahun Stadium Darul Makmur, di sini Sabtu ini.
Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-Badan Bukan Kerajaan Pahang Fadzli Mohamad Kamal, berkata Seri Paduka Baginda berkenan menyempurnakan Sambutan Jubli Emas 50 Tahun Stadium Darul Makmur dan juga akan melancarkan logo baharu Perbadanan Stadium Darul Makmur.
“Pelbagai acara menarik turut diadakan antaranya konsert yang menampilkan artis seperti Ameng Spring, Datuk Jamal Abdillah, Ara Johari, persembahan 400 murid sekolah sekitar daerah Kuantan dan pertunjukan bunga api,” ujarnya.
Tambahnya lagi, pengunjung yang bertuah akan membawa pulang sebuah kereta Perodua MyVi sebagai hadiah utama cabutan bertuah.
“Banyak fasiliti yang telah ditambah baik di stadium ini dan tahun hadapan adalah fasa kedua bagi penambahbaikan.
“Stadium ini mempunyai potensi cukup besar kerana merupakan mercu tanda negeri dan kedudukannya di tengah bandar,” ujarnya.
-ZS-