Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanNegeri Sembilan

Majlis Graduasi OMEGA Iktiraf Usaha Keras Peserta

By 24 November 2023Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Siti Zuraida MD Nor Aidi/Pejabat Pembangunan Wanita Negeri Sembilan

JEMPOL, 24 Nov (Malaysiaaktif) – Majlis Graduasi Program Kasih Wanita Ekonomi Pembangunan Mampan (OMEGA) telah diadakan sebagai dorongan motivasi dan memberikan pengiktirafan atas usaha keras dalam kalangan peserta yang telah berjaya menjana ekonomi melalui program ini.

Program OMEGA di bawah Jabatan Pembangunan Wanita Negeri Sembilan yang dilaksanakan di daerah Jempol melibatkan penyertaan lebih 30 orang peserta.

Menurut Ketua Pengarah Jabatan Pembangunan Wanita Dr. Wan Nur Ibtisam Wan Ismail cabaran wanita hari ini dalam berhadapan dengan keadaan ekonomi dan ‘sustainable development goals’ (matlamat pembangunan mampan) kaum wanita terutama yang telah berkeluarga berdepan dengan pelbagai cabaran dalam mempertahankan kelangsungan kerjaya.

“Ramai dalam kalangan golongan wanita yang telah meninggalkan dunia kerjaya atas sebab seperti tanggungjawab menjaga anak serta menjaga ahli keluarga yang sakit.

“Fenomena ini telah mengakibatkan negara kerugian sumber modal insan untuk sama-sama menyumbang dalam merancakkan hasil dan ekonomi negara,” katanya, di sini kelmarin.

Katanya lagi, pihak kerajaan telah memperuntukkan sejumlah RM720 juta untuk menggalakkan golongan wanita dan belia menceburi bidang perniagaan serta galakan cukai bagi wanita yang kembali bekerja dilanjutkan sehingga 31 Disember 2027 sebagai dorongan wanita untuk kembali bekerja.

“Melalui OMEGA yang merupakan salah satu program pemerkasaan ekonomi kumpulan sasar dengan menjalinkan kolaborasi dan perkongsian pintar di antara Jabatan Pembangunan Wanita dengan Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM) mensasarkan golongan wanita ibu tunggal sebagai tumpuan utama bertujuan untuk membantu wanita menjana pendapatan melalui pendekatan kreatif dan inovatif berasaskan barangan terbuang dan terpakai,” katanya.

Menurut salah seorang peserta OMEGA daripada kluster Jom Jahit Norlizayati Ismail, 59, program tersebut banyak membantu mereka membuka minda dan jalinan interaksi.

“Banyak manfaat yang kami boleh perolehi. Program ini memberi kami sinar baru selain kami diberi panduan dan tunjuk ajar berterusan bagi mengasah kemahiran pembuatan dan penjagaan kualiti kami turut dapat memperbaiki kemahiran berkomunikasi.

“Kami sangat teruja apabila kami diberi peluang meluaskan legasi produk jahitan beridentitikan Malaysia untuk dibawa ke luar negara seperti ke Poland dan China,” katanya.

Antara kluster yang terdapat dalam program OMEGA di daerah ini ialah kluster Jom Jahit dan Kluster Coco Art.

-ZS-

Tinggalkan komen anda