Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraPerlis

Pentingnya Kesedaran Tentang Jenayah Seksual di Peringkat Pelajar Sekolah

By 4 Januari 2024Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Anuar Che Amat

KANGAR, 4 Jan (Malaysiaaktif) – Pendedahan awal terhadap kewujudan gangguan seksual dalam kalangan pelajar-pelajar perlu dimulakan di peringkat sekolah lagi.

Ketua Polis Perlis DCP Datuk Muhammad Abdul Halim, berkata gejala serangan seksual ini terdapat  dalam pelbagai bentuk seperti perbuatan, komunikasi serta ia berlaku di dalam pelbagai peringkat umur dan juga melibatkan kanak-kanak tadika, pelajar sekolah rendah, sekolah menengah, pusat tahfiz dan institut pengajian tinggi di negeri ini.

“Menurut statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebanyak 2,015 jenayah seksual telah dilaporkan berlaku di negeri Perlis bagi tempoh 2019 hingga hujung tahun 2023.

“Daripada jumlah tersebut 110 kes melibatkan kes rogol dan 57 kes daripada jumlah tersebut melibatkan murid sekolah rendah dan menengah, 73 kes pula  melibatkan kesalahan seksual kepada kanak-kanak ,17 kes sumbang mahram dan liwat melibatkan 15 kes,” katanya.

Muhammad berkata demikian ketika merasmikan program Ceramah Kempen Kesedaran Jenayah Seksual Dalam Kalangan Murid anjuran PDRM Perlis dengan Kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Perlis di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Derma, di sini semalam.

Katanya lagi, program bertujuan memberi kesedaran kepada orang ramai dan pelajar terutamanya gejala serangan seksual yang sedang meningkat dan cara-cara untuk menghindari dan mencegahnya.

“Kempen ini akan diteruskan lagi di beberapa tempat di negeri Perlis dan pihak polis berharap dengan adanya kempen seperti ini gejala serangan seksual ini dapat dihentikan terus pada masa akan datang,” katanya.

Turut hadir Timbalan Pengarah Pendidikan (Pengurusan Sekolah) Jabatan Pendidikan Negeri Perlis Hamidi Md Saad, Ketua-Ketua Polis Daerah Kontinjen Perlis, Pengurusan Jabatan Pendidikan Negeri Perlis dan 200 pelajar sekolah tersebut.

-ZS-

Tinggalkan komen anda