
Laporan/foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)
BATU CAVES, 19 Jan (Malaysiaaktif) – Kementerian Sumber Manusia (KSM) bersama agensi-agensinya akan mengadakan Program Kesuma Madani sempena sambutan Thaipusam di Batu Caves pada 25 Januari ini.
Menteri Sumber Manusia Steven Sim Chee Keong, berkata seramai 200 sukarelawan yang dipanggil Wira Kesuma membantu pengurusan logistik seperti bantuan kepada warga emas, orang kurang upaya dan kanak-kanak.
“Mereka terdiri daripada pelatih Institut Latihan Perindustrian (ILP) dan kendalian KSM sebagai satu aktiviti tambah nilai untuk membina jati diri dan semangat bermasyarakat.
“Ini menjadikan pelatih tersebut mendapat pendidikan yang menyeluruh,” katanya semasa sidang media, di sini hari ini.
Turut hadir Pengerusi Kuil Sri Subramaniar Swamy Batu Caves, Tan Sri R Nadarajah.
Mengulas lanjut Steven, berkata pihaknya juga akan menyediakan ruang rehat percuma di khemah Kesuma Madani yang berkapasiti 500 orang.
“Ruang rehat tersebut juga menyediakan minuman kepada petugas dan sukarelawan yang terlibat semasa Thaipusam,
“KSM menghargai dedikasi semua yang terlibat dan kebajikan mereka menjadi keutamaan,” jelasnya.
Menurutnya, menerusi program Kesuma Madani juga terdapat beberapa aktiviti lain seperti reruai pendaftaran kursus teknikal kepada golongan belia India.
“Selain itu, pengunjung boleh mendapatkan saringan kesihatan percuma dan mendaftar untuk Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSSR),” katanya.
-ZS-