
Laporan/foto: Norhayati Shamsu Anuar/Mohamad Firdaus Abd Aziz
GUA MUSANG, 25 Mei (MalaysiaAktif) – Dikir Barat merupakan satu seni persembahan kebudayaan dari Negeri Kelantan yang masih kekal menjadi warisan dan dipelopori oleh generasi belia.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Kemajuan Kampung (JPKKP) Bertam, Azany Ayob, 38, berkata persembahan dikir barat ini dapat menghimpunkan semua generasi terutama belia yang berada dalam kampung.
“Saya rasa bertanggungjawab untuk memastikan generasi muda menjadikan dikir barat sebagai salah satu cara untuk berhibur dalam masa sama mampu menjadi pelapis dalam seni persembahan ini dalam mengekalkan warisannya,” katanya di Program Jiwa Madani di Bertam, semalam.

Antara tetamu yg hadir
Tukang karut dikir barat Mohd Azri Hassan, 56, berkata pelapis dari generasi muda perlu supaya kebudayaan ini mempunyai kesinambungan pada masa hadapan.
“Bukan mudah untuk menarik minat anak muda dan menjadikan hiburan ini sebagai salah satu aktiviti mereka,” tambahnya.
Salah seorang belia Mohd Izuan Effendi, 18, berkata dia meminati seni persembahan dikir barat sejak kecil lagi.
“Sekarang saya sudah mula menjadi tukang karut dikir barat dan memang awalnya saya agak malu-malu sikit tetapi dengan sokongan dari ketua kumpulan, ketua kampung dan kawan- kawan, saya berjaya mengatasi perasaan itu,” katanya.
Persembahan Dikir Barat Bertam dlm Program JIWA Madani
Turut hadir memeriahkan majlis Pegawai Penerangan Daerah, Norhayati Shamsu Anuar, Pengerusi Travel & Tour Kesedar Holding, Tn Hj Amran Ariffin dan barisan ahli jawatankuasa Majlis Belia Daerah Gua Musang.
-ZS-