
Oleh Muhammad Rizal Redzuan (Temerloh)
TEMERLOH, 10 Apr (Malaysiaaktif) – Hampir 1000 orang nelayan dan penternak ikan air tawar di Sungai Pahang terjejas teruk akibat kemarau berikutan fenomena El Nino di sini. Menurut Jabatan Meteorologi Malaysia, Temerloh suhu pada pukul 4.00 petang Sabtu 9 April mencatatkan tahan maksimum 37.4°Celcius. Keadaan sedemikian menyebabkan pihak Kementerian Pendidikan mengarahkan semua sekolah di Temerloh di tutup esok.
Panas yang melampau ini seolah-olah ‘membakar’ para nelayan dan pengusaha ikan kerana mereka bukan hanya hilang mata pencarian, malah sangkar ikan mereka turut rosak akibat kemarau. Selain itu, seorang nelayan Sungai Pahang, Azman Awang@Arshad berkata, enjin bot serta pukat beliau turut dicuri kerana terlalu lama terbiar terdampar kerana air sungai kering.
Azman berkata kebiasaannya beliau mendapat antara 20 – 30 kilogram ikan sehari, termasuk baung, tengalan dan kerai. Ikan baung dijual kepada peraih dengan harga RM35 sekilo boleh membawa pulangan hingga mencecah RM600 setiap kali beliau turun menangkap ikan. Beliau pernah mendapat sebanyak 16 ekor ikan baung dengan hasil jualan sebanyak RM 700. Bagaimanapun, sejak cuaca panas melanda negara, sudah hampir tiga bulan beliau hilang terus mata pencarian kerana air sungai yang panas dan hampir kering tidak membolehkan beliau menangkap ikan.
Lebih menyedihkan apabila melihat hampir kesemua rakan beliau yang bekerja menangkap ikan di kawasan beliau, iaitu Kuala Sungai Belenggu, tidak mendapat bantuan sara hidup nelayan RM300 yang diberikan kerajaan atas masalah tertentu. Antaranya, disebabkan kurang maklumat dari jabatan berkaitan tentang kaedah untuk mendapatkan bantuan dan membuat dokumentasi. Azman berharap pegawai dari jabatan berkaitan sudi datang ke kampung mereka untuk memberikan taklimat berhubung cara mendapatkan bantuan sara hidup nelayan yang diperuntukan kerajaan.
Tok Empat Lebak, Haji Abu Bakar Yaacob, 74, mengulangi rintihan yang sama. Beliau yang juga pengusaha ikan dalam sangkar berkata pendapatan penduduk di sini terjejas teruk kerana mereka tidak boleh bertani, menangkap atau menternak ikan akibat kemarau. Selain sungai yang semakin cetek hingga menrosakkan pukat dan bot, di penjuru lain di darat, tanah kering kontag menyebabkan pokok getah tidak mampu menghasilkan susu.