Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraPerak

Bengkel Pembuatan Sabun Buka Ruang Jana Pendapatan

By 7 Jun 2024Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Suriani Ghazali/Faizzad Kamal (Batang Padang)

TAPAH, 7 Jun (Malaysiaaktif) – Pusat Aspirasi Anak Perak (PASAK) dengan kerjasama Fakulti Sains Gunaan UiTM Cawangan Perak Kampus Tapah berjaya melibatkan penyertaan warga emas dalam menjayakan bengkel pembuatan sabun menggunakan sumber bahan terpakai.

Peserta bersama tenaga pengajar

Pengarah program yang juga Pensyarah Kanan Fakulti Sains Gunaan Adibatul Husna Fadzil memaklumkan bahawa pihak PASAK telah menyediakan geran sebanyak RM12,000 bagi melaksanakan bengkel tersebut.

“Bengkel ini dijalankan selama dua hari bermula hari ini melibatkan peserta terdiri daripada pesara kerajaan dan swasta.

“Peserta diberikan ilmu kemahiran asas dan peluang meneroka kreativiti dengan menghasilkan sabun mengikut acuan sendiri agar mereka dapat mempraktikkannya di rumah,” ujarnya ketika ditemui di sini, hari ini.

Tambah Adibatul, peserta didedahkan dengan cara-cara pembuatan sabun pencuci pakaian, pencuci pinggan dan gel mandian daripada sumber bahan terpakai selain turut diajar tentang strategi pemasaran produk.

Sementera itu, peserta Maimun Md. Ariffin, 66, dari Komuniti Madani Air Kuning, berkata penganjuran bengkel pembuatan sabun ini memberi nilai tambah kepadanya yang sebelum ini hanya fokus dalam pembuatan kuih-muih.

Peserta bengkel menunjukkan sabun yang berjaya dihasilkan

“Melalui bengkel ini, pesara seperti saya boleh mengisi masa lapang dengan aktiviti yang bermanfaat seterusnya boleh menjana pendapatan,” katanya yang bercadang menceburi bidang pembuatan sabun untuk dijual di pasaran.

-AA-

Tinggalkan komen anda