
Laporan/foto: Anuar Che Amat
KANGAR, 10 Jun (Malaysiaaktif) – Ahli-ahli komuniti serta penduduk Kampung Seberang Alor yang layak untuk mendaftar di dalam program BUDI MADANI disaran berbuat demikian bagi mendapatkan kemudahan yang disediakan oleh kerajaan.

Pengarah Penerangan Negeri Perlis, Mazli Hamdan (duduk tiga dari kiri) bergambar kenangan bersama ahli Komuniti Madani Kampung Seberang Alor
Pengarah Jabatan Penerangan Negeri Perlis, Mazli Hamdan berkata, bantuan BUDI MADANI merupakan salah satu inisiatif Kerajaan Perpaduan bagi memastikan peruntukan subsidi disasarkan kepada golongan yang layak.
“Perdana Menteri pada Belanjawan 2024 telah komited untuk menyasarkan semula subsidi bahan api bagi mengekang aktiviti penyeludupan dan ketirisan subsidi rakyat,” ujarnya.
Beliau menyatakan demikian ketika merasmikan Program JIWA MADANI di Kampung Seberang Alor bagi Parlimen Kangar di Kampung Seberang Alor, Kuala Perlis, kelmarin.
Tambah beliau, kerajaan juga menyalurkan pelbagai bentuk subsidi dan insentif kepada nelayan menerusi Belanjawan 2024 bagi membantu meringankan kos sara hidup serta kos penyelenggaraan peralatan asas seperti jaring dan pukat.

Permainan sukaneka mendapat perhatian kanak-kanak
“Bagi memastikan kebajikan majoriti rakyat terus terpelihara, BUDI MADANI pula diperkenalkan sebagai platform penyasaran semula subsidi hanya kepada yang memerlukan dan saya sangat berharap ahli-ahli komuniti serta penduduk di sini yang layak supaya mengambil peluang ini dengan terus mendaftar,” ujarnya.
-AA-