
Laporan/foto: Nur Shahrina Amran (Tangkak)
TANGKAK, 19 Jun (Malaysiaaktif) – 100 orang terdiri daripada keluarga kurang berkemampuan, anak yatim dan golongan asnaf menerima agihan daging sempena Program Korban Perdana Parlimen Ledang, di sini semalam.
Ahli Parlimen Ledang Syed Ibrahim Syed Noh, berkata program korban ini bertujuan memperkukuhkan semangat kebersamaan dan keprihatinan dalam komuniti sambil memenuhi tuntutan agama.

Syed Ibrahim turut sama membantu penduduk melapah daging bersama penduduk kampung dan sukarelawan program.
“Program korban kali ini dilaksanakan di setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Parlimen Ledang. Di DUN Gambir, seekor lembu disembelih di Ladang Air Panas, dua ekor lembu di Jalan Payamas dalam DUN Tangkak dan di DUN Serom seekor lembu di Balai Raya Tanjung Agas.
“Program korban bukan sekadar menunaikan ibadah tetapi ia juga memupuk semangat kebersamaan dan keprihatinan dalam masyarakat,” katanya.
Syed Ibrahim juga berharap agar program korban perdana ini dapat diteruskan pada masa akan datang sebagai usaha berterusan untuk membantu masyarakat setempat dan memperkukuhkan ikatan silaturahim.

Sukarelawan dan penduduk berkerjasama melapah dan membungkus daging korban.
Salah seorang penerima, Norlaila Abdul Jalil, 40, berkata beliau menyambut baik program ini dan menghargai usaha serta keprihatinan yang ditunjukkan oleh penganjur dan sukarelawan.
“Terima kasih kepada semua yang terlibat, terutama sukarelawan yang bekerja keras bagi memastikan kelancaran acara kali ini,” katanya.
Turut hadir Penghulu Kanan Tangkak Mohd Khaidir Ismail.
-ZS-