
Laporan/foto: Lizza Imelia M. Sulanah (LMS)/Hafizuddin Azhar (ZTNS)
TAIPING, 9 Jul (Malaysiaaktif) – Lebih 2,000 peserta dari dalam dan luar negara menyertai TRR I Love Taiping Night Run 2024 di Pavillion Zoo Taiping & Night Safari (ZTNS), di sini kelmarin.
Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pokok Assam Ong Seng Guan, penganjuran kali ini amat berbeza dari segi penyertaan reruai pameran dan jualan serta persembahan.

Peserta bersedia untuk pelepasan I Love Taiping Night Run 2024.
“Program ini merupakan penganjuran edisi ketiga selepas dua kali penganjurannya pada tahun 2017 dan 2018. Pastinya acara pada tahun ini lebih meriah sempena Tahun Melawat Perak dan Ulang Tahun ke-150 Bandar Taiping.
“Terima kasih kepada penduduk Taiping yang hadir memberikan sokongan dan menyaksikan persembahan-persembahan yang disusun untuk program ini,” katanya ketika berucap.
Program anjuran Taiping Road Runner (TRR) dengan sokongan penaja Sateera Sdn Bhd dan Syarikat SPIN Sportwear mempertandingkan sembilan kategori larian sejauh 10km, 5km dan 3.5km (Family Run) dengan pemenang bagi setiap kategori menerima hadiah wang tunai, pingat dan sijil penyertaan.

Ong Seng Guan ketika berucap merasmikan majlis.
Penganjuran program ini bertujuan mengumpul dana bagi membantu usaha konservasi Harimau Malaya di ZTNS demi kelangsungan haiwan tersebut.
Hadir sama Pegawai Daerah Larut Matang dan Selama (LMS) Mohd Nasrul Menhat, Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Daerah Taiping ASP Ng Tee Yian, Pengarah ZTNS Dr. Muhamad Ridhwan Affendi dan Pengerusi TRR Chuah Chong Fu.
-ZS-