
Laporan/foto: Mohammad Rasuli (Bagan Datuk)
TELUK INTAN, 15 Jul (Malaysiaaktif) – Ilmu persilatan jika dipelajari dan didalami bukan sahaja membuatkan seorang pesilat mengenali citra budaya bangsanya sendiri malah akan membentuk pesilat yang berprestasi tinggi dan memiliki jati diri yang teguh.
Perkara ini diakui Yang Dipertua Pertubuhan Silat Seni Gayong Malaysia Kebangsaan (PSSGMK) Negeri Perak Ir Shahrul Nizam Ahmad Sharudin, ketika ditemui pada Program Rentak Lenggok Perak 2024 di Dataran Menara Condong, di sini kelmarin.

Ir Shahrul Nizam (kiri) mengetuai persembahan silat PSSGMK pada program tersebut.
Menurutnya, pembinaan jati diri seorang pesilat telah dibentuk sejurus kakinya melangkah ke dalam gelanggang persilatan, yang mana seorang pesilat akan dididik dengan segala ilmu pengetahuan terutama yang berkaitan dengan adab.
“Adab merupakan perkara penting yang harus ada pada seorang pesilat, iaitu adab menghormati guru, adab menghormati pelajaran dan adab menghormati gelanggang yang menjadi medan menuntut ilmu.
“Walaupun ilmu persilatan masih mengekalkan tradisi lama dalam menuntut ilmu, namun kaedah penyampaiannya tetap disesuaikan dengan generasi mengikut perkembangan zaman,” katanya.

Antara khalayak yang hadir.
Tambah beliau, selain dilatih dengan teknik mempertahankan diri, pesilat juga dilatih dengan ilmu pertempuran tangan kosong dan teknik menggunakan senjata yang mana ilmu tersebut boleh dipraktikkan serta diguna pakai apabila menyertai perkhidmatan awam dan pasukan keselamatan negara.
“Hal ini menjadikan seorang pesilat berasa yakin dengan ilmu yang dipelajarinya kerana ilmu tersebut sesuai mengikut peredaran zaman dan boleh diamalkan sehingga dewasa malah ketika menempuh alam pekerjaan.
“Kepada mereka yang berminat mempelajari ilmu persilatan, yakinlah dengan ilmu yang dipelajari dan tidak bersikap membandingkan kesesuaiannya dengan keperluan zaman. Ini kerana tiada ukuran masa dan perbandingan antara zaman moden atau tradisional dalam menuntut ilmu,” ujarnya.
-ZS-