Skip to main content
Berita TempatanBerita TimurTerengganu

Program Celik SURI Menjadi Platform Memupuk Minat ke Perpustakaan

By 18 Julai 2024Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Mahadi Mustafa (Dungun)

DUNGUN, 18 Jul (Malaysiaaktif) – Usaha untuk memupuk budaya membaca dalam kalangan masyarakat di semua peringkat menjadi inisiatif program Celik SURI untuk menarik pengunjung ke perpustakaan.

Budaya membaca menjadi cabaran besar dalam memupuk minat membaca dalam diri anak-anak, terutama bagi mendorong mereka supaya lebih menggemari buku berbentuk ilmiah.

Taklimat oleh Penolong Pengarah Bahagian Keselamatan Kebakaran, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Terengganu.

Pihak Perpustakaan Desa Kampung Pulau Serai dengan kerjasama Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Terengganu, Kawasan Rukun Tetangga (KRT) , Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK), Masjid Al Mustaqim Paya Pelandang Pulau Serai dan Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) Kampung Pulau Serai serta Jawatankuasa Perpustakaan Desa Kampung Pulau Serai yang baharu dilantik telah bergabung menjayakan program Celik SURI di Pekarangan Perpustakaan Desa Kampung Pulau Serai, di sini kelmarin

Program ini turut memberi pendidikan dan kesedaran awam tentang kebakaran kepada peserta yang hadir terutamanya suri rumah. Pelbagai aktiviti menarik diadakan antaranya pertandingan mewarna berkeluarga bersama Bomba, teka jumlah buku, ceramah dan demonstrasi kebakaran, jom belajar berenang serta taklimat klik dengan bijak-keselamatan internet.

Bagi Guru Tadika Ramlai@Anita Ibrahim, 57,  program ini amat dinanti-nantikan kerana dapat mempelajari cara menangani kebakaran sekiranya berlaku di rumah.

Demonstrasi memadam api kepada orang ramai.

“Saya berharap agar program bersifat kekeluargaan bersama anak-anak akan diadakan lagi pada masa akan datang,” katanya.

Muhusin Taib, 44, yang mewakili Pengerusi Masjid Al-Mustaqim Paya Pelandang, berkata masyakarat setempat memperolehi banyak manfaat secara teori dan praktikal yang dikendalikan oleh pihak bomba.

“Saya amat berterima kasih kepada bomba, selain ilmu yang kami perolehi anak-anak turut diajar cara-cara berenang dengan betul.

“Ini sekali gus dapat menarik minat untuk datang ke perpustakaan dengan pengisian program yang sangat bermanfaat,” katanya.

Program sehari ini dirasmikan oleh Penolong Pengarah Bahagian Keselamatan Kebakaran, Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Terengganu Penguasa Kanan Bomba II Muhamad Nizam Marlan.

Turut hadir Penyelia Perpustakaan Desa Pulau Serai Isdawanam Mamat dan Pengerusi Jawatankuasa Perpustakaan Desa Kampung Pulau Serai Mohd Nasharoddin Yusoff.

-ZS-

Tinggalkan komen anda