
Laporan/foto: Noor Aini Hanapiah/Anuar Che Amat
PADANG BESAR, 1 Ogos (Malaysiaaktif) – Nyanyian lagu ‘Jalur Gemilang’ yang secara beramai-ramai telah memecah keheningan malam Empangan Timah Tasoh.
Lagu tersebut dikumandangkan sempena Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2024 Peringkat Negeri Perlis di Terinai Café Lake View Tasoh, di sini malam tadi yang bertujuan memupuk semangat patriotisme dan menyemarakkan kempen kibar Jalur Gemilang dalam kalangan masyarakat.

Para tetamu yang hadir terdiri daripada Komuniti MADANI, wakil agensi dan pertubuhan bukan kerajaan.
“Majlis yang dijayakan oleh Jabatan Penerangan ini, adalah bagi memupuk semangat patriotisme serta menyemarakkan kempen kibar Jalur Gemilang dalam kalangan masyarakat tanpa mengira bangsa dan agama.
“Pada tahun ini Bulan Kemerdekaan bertemakan Malaysia MADANI Jiwa Merdeka. Malaysia MADANI yang membawa maksud tunjang kemakmuran dan kemajuan negara melalui enam dukungan nilai teras utama, manakala Jiwa Merdeka menzahirkan kebebasan rakyat daripada sebarang elemen negatif dalam menginterpretasikan semangat patriotik melalui aspek pemikiran, integrasi sosial dan ekonomi, seterusnya membentuk kesatuan rakyat yang kukuh, harmoni serta progresif,” kata Ahli Dewan Undangan Negeri Indera Kayangan Gan Ay Ling.

Bacaan Ikrar Rukun Negara oleh wakil Komuniti MADANI.
Penyerahan Jalur Gemilang kepada enam agensi dan tetamu jemputan sebagai simbolik perasmian program turut menyemarakkan pelancaran majlis.
Turut hadir Pengarah Jabatan Penerangan Negeri Perlis Mazli Hamdan dan Pengarah Pembangunan Negeri Perlis (ICU) Maznah Musa.
-ZS-