
Laporan/foto: AgKu Marzuki Ag Latip (Sabah)
TAWAU, 6 Ogos (Malaysiaaktif) – Komuniti setempat perlu bersatu membulat tekad bagi sama-sama memandang tinggi dan menghormati Jalur Gemilang serta pengorbanan perwira negara yang berjuang demi mengecapi sebuah kemerdekaan.
Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan Sabah Rina Jainal, berkata kemerdekaan adalah anugerah yang tidak ternilai harganya yang harus dipertahankan sampai bila-bila.

Edaran bahan penerbitan bersama dif jemputan.
“Hargailah nikmat kemerdekaan dan hargailah nilai perpaduan. Perpaduan adalah suatu nikmat yang amat berharga dan tidak ternilai harganya. Oleh kerana itu, ia perlu dibelai, dipupuk dan dipelihara dalam diri kita semua.
“Teguhkanlah perpaduan, permuafakatan, persefahaman dan sikap saling menghormati untuk kekal utuh, jitu dan padu kerana itulah satu-satunya cara untuk kita memastikan kita akan dapat terus hidup dalam keadaan aman dan tenteram,” katanya pada majlis Pelancaran Kempen Kibar Jalur Gemilang Dan Kembara Jiwa Merdeka di Dewan Kampung Sentosa, di sini pada Ahad.
Merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri Kukusan Rina, berkata pelbagai pengisian telah dirancang bagi memeriahkan kempen berkenaan yang turut dianjurkan bersempena Sambutan Hari Kebangsaan Peringkat DUN Kukusan Tahun 2024.
“Pada tahun ini Konvoi Kembara Jiwa Merdeka melibatkan 10 buah kenderaan dan empat perhentian yang telah dilaksanakan daripada pagi, ianya sebagai simbolik bermulanya aktiviti Kembara Jiwa Merdeka dan pengisian Bulan Kebangsaan di DUN Kukusan khasnya.

Jelajah mesra edaran Jalur Gemilang di premis perniagaan.
“Inilah unik dan istimewanya Bulan Kebangsaan ini, kita dapat menyaksikan penyertaan seluruh masyarakat mengibarkan Jalur Gemilang di merata-rata tempat seperti kawasan perumahan, kediaman, pejabat, sekolah dan melihat suasana sebegini menaikkan semangat patriotisme dalam diri.
“Justeru, marilah kita bertekad untuk menerap mentaliti dan sikap masyarakat supaya memandang tinggi dan menghormati Jalur Gemilang sebagai lambang identiti negara yang gah di mimbar merdeka ini dan janganlah kita mengambil mudah bagaimana para pejuang berjuang demi mengecapi kemerdekaan,” ujarnya.
Majlis pelancaran tersebut turut dihadiri sekitar 100 komuniti setempat antaranya daripada Kampung Jawa Lanut dan Komuniti Hilltop serta Pegawai Pemimpin Masyarakat Kukusan Sukardi Mahsuri dan Pegawai Penerangan Daerah Tawau Azuary Abdul Azis.
-ZS-