Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahSelangor

Lebih 300 Warga Gombak Sambut KMJG 2024 di Kolej Komuniti Selayang

By 10 Ogos 2024Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)

BANDAR BARU SELAYANG, 10 Ogos (Malaysiaaktif) – Lebih 300 orang diketuai Pegawai Daerah Gombak meraikan ketibaan Konvoi Merdeka Jalur Gemilang (KMJG) 2024 di daerah ini yang diadakan di Kolej Komuniti Selayang, di sini.

Konvoi yang melibatkan 16 buah kenderaan termasuk pacuan empat roda dan 36 buah motosikal berkuasa tinggi daripada Suzuki V Strom Owners Club Malaysia (SVOCM) serta kakitangan Jabatan Penerangan (JaPen) Selangor.

Nor Azlina menyampaikan Jalur Gemilang kepada wakil agensi yang hadir di program KMJG 2024 di Kolej Komuniti Selayang hari ini.

Ketibaan peserta konvoi tepat pukul 8.00 pagi tadi disambut dengan kibaran Jalur Gemilang sambil nyanyian lagu patriotik serta persembahan percussion pelajar Kolej Komuniti Selayang.

Turut diadakan majlis tandatangan buku KMJG oleh Pegawai Daerah Gombak Nor Azlina Abdul Aziz dan Pengarah Kolej Komuniti Selayang Dr. Noriah Abdul Malek serta penyampaian Jalur Gemilang kepada agensi kerajaan daerah Gombak.

Sementara itu, Nor Azlina menyeru lapisan rakyat agar menyahut seruan kerajaan untuk memasang dan mengibarkan Jalur Gemilang sebagai tanda kasih dan sayang kita pada tanah air.

Peserta KMJG bergambar bersama Pegawai Daerah Gombak dan tetamu yang hadir di Kolej Komuniti Selayang hari ini.

“Masyarakat perlu memandang tinggi dan menghormati Jalur Gemilang sebagai lambang identiti negara tercinta.

“Sahutlah seruan Perdana Menteri iaitu 1 Rumah 1 Jalur Gemilang bagi menzahirkan rasa cinta dengan mengibarkan Jalur Gemilang di kenderaan, rumah dan tempat kerja,” katanya semasa menyampaikan ucapan perasmian hari ini.

Konvoi KMJG 2024 akan menjelajah keseluruh 10 buah negeri Semenanjung bermula 21 Julai di Cyberjaya dan akan berakhir di Putrajaya pada 31 Ogos ini bagi menzahirkan semangat patriotisme menjelang sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2024.

Secara keseluruhan, Konvoi KMJG 2024 membabitkan 90 peserta dan 65 kenderaan, termasuk daripada JaPen, Polis Diraja Malaysia (PDRM), agensi, komuniti dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Selangor.

-ZS-

Tinggalkan komen anda