
Laporan/foto: Siti Rahimah Ajis@Abdul Ajis (Sarawak)
JULAU, 11 Ogos (Malaysiaaktif) – Seramai 20 orang wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan agensi persekutuan dan kerajaan negeri telah menyertai majlis perasmian sambutan Hari Wanita 2024 yang telah dilaksanakan secara hybrid bersama dengan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg di Bilik Mesyuarat, Pejabat Daerah Julau, semalam.

Penyampaian cenderamata kepada Madline Bernai yang telah disampaikan oleh Pemangku Pegawai Daerah Julau, Muqaddim Samsudin (dua kanan) yang diiringi oleh Cecilia (paling kiri) dan Hartini.
Menurut Pengerusi MAKSAK Wanita Julau, Cecilia Daffi Francis Belen, tema sambutan Hari Wanita Peringkat Sarawak pada tahun ini ialah Sarawak Women in Innovation and Technology adalah bertepatan dengan peranan, jasa dan sumbangan wanita sebagai pemangkin pembangunan negara sama ada dari aspek sosioekonomi, pendidikan, sosial mahupun pembinaan insan.
“Sejak dari azali wanita sentiasa digambarkan sebagai insan yang teristimewa, tiang kepada institusi keluarga yakni tangan yang menghayun buaian, juga mampu menggoncang dunia.

Majlis Sambutan Hari Wanita Peringkat daerah Julau disempurnakan dengan memotong kek yang dipimpin oleh Cecilia Daffi (empat kanan), Pengerusi MAKSAK Wanita Julau.
“Justeru, adalah wajar sambutan Hari Wanita seperti hari ini diadakan bagi meraikan serta memberi penghargaan kepada golongan wanita yang telah banyak menyumbang dalam pelbagai sektor,” kata Cecilia.
Tambahnya, selain itu pengurniaan anugerah kepada tokoh-tokoh wanita yang telah berjaya meletakkan Sarawak di peta dunia dengan hasil karya mereka yang diiktiraf diperingkat global mampu memberi inspirasi kepada wanita-wanita lain supaya lebih berdaya saing dan cemerlang di dalam bidang masing-masing.
Dalam program yang sama, acara pemotongan kek turut berlangsung untuk meraikan pencapaian dan memperjuangkan keadilan dan kesaksamaan para wanita.
-ZS-