
Laporan/foto: Mohammad Rasuli (Bagan Datuk)
RUNGKUP, 16 Ogos (Malaysiaaktif) – Program Demokrasi Berparlimen di Sekolah Menengah Kebangsaan Tun Abdul Razak, di sini kelmarin menjadi platform untuk menyemai semangat patriotik dalam kalangan pelajar.

Khairul Azmi ketika berucap.
Menurut pengetuanya Khairul Azmi Jait, beberapa aktiviti telah dilaksanakan sempena program ini seperti ceramah patriotik, pertandingan busana merdeka, kuiz kenegaraan dan persembahan lagu patriotik oleh pelajar.
“Harapan agar para pelajar ini akan memahami erti sebenar kemerdekaan yang diwarisi dan menimbulkan rasa sayang kepada negara.
“Generasi pada hari ini juga perlu mengekalkan semangat bersatu padu antara kaum dan memastikan keharmonian di negara ini terus terpelihara,” ujarnya.

Persembahan nyanyian lagu patriotik oleh pelajar.
Sementara itu, Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah Bagan Datuk Abdul Razak Mohamed Ashari, berkata program ini berjaya mencapai objektifnya, namun perlu dipergiat dan bukan sekadar diadakan pada Bulan Kemerdekaan.
“Program dan aktiviti Kelab Malaysiaku juga perlu dianjurkan di peringkat sekolah rendah agar semangat patriotik dalam diri pelajar dapat disemai dengan lebih awal,” katanya yang hadir sebagai mewakili Ketua Pegawai Pendidikan Daerah Hajjah Kasmiyati Katiman.
-ZS-