Skip to main content
Berita TempatanBerita Sabah & LabuanSabah

Kekalkan Kemerdekaan Dengan Ilmu Pengetahuan – Mustapha

By 28 Ogos 2024Tiada komen3 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Zaidi Jamin (Sabah)/Politeknik Kota Kinabalu 

KOTA KINABALU, 28 Ogos (Malaysiaaktif) – Nikmat kemerdekaan yang kita kecapi tidak akan kekal dan bererti sekiranya perpaduan dan kemerdekaan Malaysia selama 67 tahun tidak diisi dengan ilmu pengetahuan.

Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Mustapha Sakmud, berkata pelbagai pendekatan telah diusahakan kerajaan bagi menanam rasa cinta pada negara dan meningkatkan semangat patriotisme masyarakat.

“Namun apalah ertinya kemerdekaan jika generasi muda terus impikan kegemilangan tetapi meremehkan wawasan dan ilmu pengetahuan.

“Sehubungan itu, generasi muda yang bakal mewarisi kemerdekaan negara pada masa hadapan perlu disedarkan bahawa ilmu pengetahuan hari ini sudah pasti bekal yang berguna dalam menjana kelangsungan kemerdekaan dan kemakmuran negara pada masa akan datang,” katanya.

Menurut Mustapha, generasi muda hari ini perlu berilmu dan berjiwa merdeka.

“Justeru, ilmu pengetahuan dan kemahiran untuk membuat penilaian dalam kalangan generasi muda amat penting kerana kemerdekaan yang kita kecapi hari ini bukanlah nikmat kemerdekaan yang mutlak jika jiwa dan minda kita terus dijajah.

“Setiap warga di negeri ini tanpa mengira kaum, agama dan latar belakang memainkan peranan untuk menyemarakkan rasa cinta kepada negara,” katanya ketika menyampaikan ucapan pada majlis Perasmian Program Jiwa Komuniti MADANI Peringkat Parlimen Sepanggar dan Upacara Sambutan ketibaan Konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang 2024 bertempat di Politeknik, Kota Kinabalu pada Isnin.

Pelbagai agensi dan jabatan kerajaan serta swasta turut berkolaborasi sepanjang Program Jiwa Komuniti MADANI Peringkat Parlimen Sepanggar berlangsung pada sebelah pagi diikuti majlis sambutan penuh meriah ketibaan Konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG) pada sebelah petangnya.

“Saya berharap dan menyeru agar kita dengan hati yang ikhlas secara bersama terus berusaha menyemarakkan rasa cinta kepada negara dalam meraikan sambutan Hari Kebangsaan, Hari Sabah dan Hari Malaysia diiringi dengan Jiwa Merdeka,” jelasnya.

Antara pengisian aktiviti sepanjang program termasuklah, pameran informasi pelbagai agensi kerajaan dan swasta, saringan kesihatan percuma dan upacara derma darah, persembahan hiburan berinformasi, Pertandingan Lagu-lagu Patriotik, Taklimat Agensi Antidadah kebangsaan (AADK) dan sebagainya.

Sebagai makluman, Konvoi KMJG 2024 melibatkan 20 kenderaan dengan 60 orang peserta telah memilih Politeknik Kota Kinabalu sebagai perhentian terakhir selepas mengharungi perjalanan mengelilingi seluruh Sabah dalam tempoh 20 hari pengembaraan bermula 8 Ogos lalu.

Hadir sama Pembantu Menteri Kewangan II merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri Likas Tan Lee Fatt, Pengarah Penerangan Sabah selaku Ketua Konvoi KMJG Jainisah Mohd Noor, Pengarah Politeknik Kota Kinabalu Md Nor Abdul Halim, Pengerusi-pengerusi Komuniti MADANI, para pensyarah serta para pelajar Politeknik, Kota Kinabalu.

-ZS-

Tinggalkan komen anda