
Laporan/foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)
HULU KELANG, 31 Ogos (Malaysiaaktif) – Jiwa merdeka bermaksud rakyat perlu berfikiran bebas serta keluar daripada kepompong kejumudan dalam usaha memajukan negara.
Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari, berkata jiwa merdeka bukan bererti tiada peraturan dan boleh melakukan sesuatu sesuka hati.

Amirudin menyampaikan watikah pelantikan ahli jawatankuasa MPKK Klang Gate yang baharu.
“Kita bersedia menerima idea, cara fikir untuk memajukan negara dan tidak mudah terkongkong dengan perkara yang tidak membawa kebaikan.
“Sebaliknya bersedia untuk memperbaiki keadaan itu,” katanya ketika berucap dalam Program Turun Padang di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Hulu Kelang di Kampung Klang Gate, di sini hari ini.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Gombak, berkata ketika ini kerajaan negeri serta persekutuan gigih berusaha memulihkan ekonomi dan ia menunjukkan perkembangan positif.
“Bursa saham hari ini menunjukkan lebih 1,670 mata adalah kedudukan terbaik dalam tempoh lima tahun.
“Semalam, kedudukan ringgit semakin pulih sehingga RM4.30 dan ekonomi negara dijangka bertambah baik,” katanya.
Menurutnya, segala usaha itu memerlukan sokongan dan perpaduan rakyat.
“Kadang-kadang kita terpaksa ambil tindakan tidak popular atau tidak menyenangkan hati semua.
“Ia terpaksa diambil untuk pulih dan kembalikan keadaan serta hasilnya,” jelasnya.
-ZS-