
Laporan/foto: Armizie Hanazifs Ahmad/Hafizullah Abdul Aziz (Pendang)
PENDANG, 7 Sep (Malaysiaaktif) – Konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG) terus menyemarakkan semangat merdeka sempena Sambutan Hari Kebangsaan ke-67 Peringkat Daerah Pendang.
Konvoi kembara ini telah disertai oleh 30 buah motosikal berkuasa tinggi dari kelab Geng Motor Tong (GMT), 45 buah motosikal pelbagai sisi dari sukarelawan RELA daerah Pendang, sebuah kenderaan Pejabat Penerangan daerah Pendang, sebuah kereta Supercar Audi R8, sebuah kereta Sportcar Audi TT, sebuah kenderaan pacuan empat roda serta dua buah lori daripada 1Minute Miracle Sdn. Bhd.

Pengarah Urusan 1Minute Miracle Sdn Bhd bergambar bersama kenderaan yang menyertai konvoi KMJG.
Program yang diadakan di Stadium Mini Pendang pagi tadi merupakan anjuran Pejabat Daerah dan Tanah daerah Pendang dengan kerjasama jabatan kerajaan, agensi swasta dan badan bukan kerajaan (NGO) seluruh daerah Pendang.
Penyelaras konvoi Hafizullah Abdul Aziz ketika ditemui, berkata setiap kali sambutan Hari Kebangsaan peringkat daerah Pendang, Pejabat Penerangan ditugaskan untuk menyelaras pasukan konvoi.
“Konvoi kembara pada tahun ini amat luar biasa dan agak meriah kerana mendapat penyertaan yang lebih ramai daripada tahun-tahun sebelum ini.
“Laluan konvoi pada hari ini juga lebih jauh berbanding tahun lalu kerana semua peserta bersemangat untuk mengelilingi daerah Pendang sambil mengibarkan Jalur Gemilang,” ujarnya.

Kelab Motorsikal GMT mengetuai konvoi kembara pada tahun ini.
Pelbagai aktiviti diadakan antaranya perarakan dan kawad kaki, persembahan silat dan seni mempertahankan diri, persembahan sajak kemerdekaan, persembahan pancaragam, nyanyian lagu patriotik, pameran agensi, gerai-gerai jualan dan paling istimewa adalah konvoi kembara membawa Jalur Gemilang mengelilingi pekan Pendang sebelum berakhir dan membuat lintasan hormat di Stadium Mini Pendang.
Ketibaan pasukan konvoi di stadium pada pukul 8.40 pagi disambut dengan iringan lagu patriotik pasukan pancaragam dan sorakan meriah daripada para pengunjung yang berada di sini sejak awal pagi.
-ZS-