
Laporan/foto: Nurlaila Abdul Azid/Farid Izzemeer (Hilir Perak)
TELUK INTAN, 8 Sep (Malaysiaaktif) – Hampir 300 penduduk meriahkan Sambutan Hari Kebangsaan yang ke-67 sempena Program JIWA Komuniti MADANI Peringkat DUN Changkat Jong yang berlangsung di Mini Arena Kampung Ayer Hitam, di sini kelmarin.
Pengisian program yang padat seperti konvoi bermotosikal, pertandingan mewarna, pertandingan busana kanak-kanak, pertandingan memasak puding dan pulut kuning serta cabutan bertuah berjaya menarik minat penduduk setempat untuk turut serta mengambil bahagian.

Datuk Haji Azhar (tengah baju hitam) bersama semua pemenang busana kemerdekaan.
Ketua Komuniti MADANI Kampung Ayer Hitam Haji Mohamad Din Hussein menzahirkan penghargaan atas kerjasama dan sambutan yang diberikan oleh semua pihak.
“Masyarakat Madani hari ini telah bijak dalam menginterpretasikan semangat patriotik dan kecintaan kepada negara walaupun ada dalam kalangan penduduk di kampung ini mempunyai pandangan dan ideologi politik yang berbeza.
“Program kemerdekaan yang dianjurkan oleh kerajaan dengan matlamat untuk menyatupadukan semua lapisan masyarakat serta membina permuafakatan sesama rakyat pasti disambut baik oleh semua,” ujarnya.
Sementara itu, salah seorang penduduk Faridah Mat Nor, 57, berasa terharu dan bangga kerana melihat sambutan yang ditunjukkan oleh penduduk kampung daripada pelbagai lapisan umur begitu memberangsangkan terutama dari penyertaan kaum wanita.
“Rata-rata kaum wanita di kampung ini sentiasa melibatkan diri dengan aktif dalam setiap penganjuran program kerana mereka sangat bertanggungjawab apabila diberi sebarang tugasan,” katanya.
Tambah Faridah, penglibatan kaum wanita berupaya memperkasa komuniti kerana komitmen dan semangat juang yang tinggi dan jika diberi peluang, golongan wanita mampu memberikan hasil yang lebih baik.
Perasmian program telah disempurnakan oleh Pengerusi Yayasan Pendidikan Teluk Intan Datuk Haji Mohd Azhar Jamaluddin.
-ZS-