
Laporan/foto: Sumardi Sugiman/Jackson Abell (Sarawak)
KUCHING (Bau), 10 Sep (Malaysiaaktif) – Program Jiwa Komuniti Madani Peringkat DUN Tasik Biru berlangsung meriah dengan menampilkan pelbagai aktiviti menarik dan menjadi platform Jabatan Penerangan (JaPen) Daerah Bau memperkukuhkan semangat patriotik dan cintakan negara dalam kalangan masyarakat setempat di peringkat akar umbi bersempena Sambutan Hari Malaysia pada 16 September ini.

Roystein Giles menyatakan rasa bersyukur dan berterima kasih kepada JAPEN Bau dan penduduk setempat yang menjayakan program ini.
Pegawai Penerangan Daerah Bau Sumardi Sugiman dalam ucapannya mengucapkan syabas dan terima kasih kepada Komuniti MADANI Kampung Daun atas kejayaan penganjuran program itu apabila menjadi tuan rumah pada tahun ini.
“Ini adalah kejayaan kita bersama apabila tiga komuniti madani terdiri daripada Komuniti MADANI Kampung Sebobok, Komuniti MADANI Kampung Skiat Baru dan Komuniti MADANI Kampung Daun di kawasan ini merangkumi ibu bapa dan anak-anak dapat berhimpunan bagi memeriahkan program sekali gus menzahirkan semangat patriotisme dan cinta kepada negara sempena Sambutan Hari Malaysia pada 16 September ini nanti” ujarnya semalam.
Tambah Sumardi lagi, beliau menyeru komuniti menjayakan kempen inisiatif 1 Rumah 1 Jalur Gemilang (1R1JG) sebagaimana yang disarankan oleh kerajaan bagi memeriahkan sambutan Hari Malaysia dan mengingatkan komuniti di situ agar tidak mengibarkan Jalur Gemilang yang lusuh, kotor dan koyak rabak kerana situasi itu menunjukkan rasa tidak hormat kepada lambang kebesaran negara dan kedaulatan negara.

Antara peserta Pertandingan Mewarna Kanak-Kanak.
“Mari kita sama-sama kibarkan Jalur Gemilang di rumah kediaman masing-masing sempena Sambutan Hari Malaysia dan pastikan Jalur Gemilang yang dikibarkan tidak lusuh, rosak dan koyak rabak kerana itu menunjukkan rasa tidak hormat kepada lambang kebesaran dan kedaulatan negara,” ujarnya.
Selain itu, Sumardi mengingatkan penduduk agar sentiasa berwaspada supaya tidak menjadi mangsa penipuan dalam talian dan buli siber yang boleh menyebabkan mangsa mengalami kemurungan dan kehilangan wang.
Antara pengisian menarik program ini merangkumi pertandingan mewarna kanak-kanak, senamrobik, sukaneka, kuiz kenegaraan, sembang santai dan edaran bahan penerbitan, hebahan awam, bacaan ikrar Rukun Negara, nyanyian lagu patriotik dan kibaran Jalur Gemilang.
“Rasa bersyukur dan terima kasih kepada JaPen Bau dan penduduk yang menjayakan program ini,” kata Ketua Komuniti Madani Kampung Daun Roystein Giles.
-ZS-