
Laporan/foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)/PSA
SHAH ALAM, 17 Sep (Malaysiaaktif) – Seramai 25 orang pelajar program Pensijilan Tahfiz Al-Quran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM)-IPT (Institut Pengajian Tinggi) berlepas ke Mesir bagi menyertai Program Tahsin al-Quran Bersanad, semalam.
Mereka terdiri daripada pelajar Universiti Tenaga Nasional (UNITEN), Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (PSA) dan University of Cyberjaya (UoC).

Antara pelajar IPT yang akan berlepas ke Mesir kelihatan ceria ketika berbual dengan Pengarah PSA, Zainah Rujihan.
Ketua Pengarah Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti Datuk Dr. Mohd Zahari Ismail, berkata Kementerian Pendidikan Tinggi meletakkan harapan agar para peserta berjaya dalam program tersebut sekali gus menjaga imej kementerian dan negara.
“Kita sedia maklum anda cemerlang dalam akademik namun kejayaan sebagai seorang huffaz merupakan ikon kepada kementerian,” katanya ketika ditemui di Balai Berlepas Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Turut hadir Pengarah PSA Zainah Rujihan dan Pengarah Pusat Islam UNITEN Prof. Madya Dr. Amanuddin Shamsuddin.
Menurut Dr. Mohd Zahari, kerajaan sangat menggalakkan para pelajar terutamanya yang mempunyai latar belakang pendidikan agama Islam dan tahfiz untuk diketengahkan ke peringkat yang lebih tinggi.
“Pada 15 September lalu, Perdana Menteri telah merasmikan Majlis Himpunan 24,000 Huffaz Malaysia.
“Ini membuktikan komitmen kerajaan dalam memartabatkan aliran agama serta bukti negara memerlukan pelajar-pelajar yang mempunyai bakat terutamanya menghafal al-Quran,” jelasnya.
Program Tahsin Al-Quran Bersanad di Mesir yang bermula 16 September hingga 5 Oktober ini bertujuan mendalami ilmu pengajian Al-Quran dengan manhaj talaqqi dan musyafahah yang benar.
Melalui program ini, para pelajar berpeluang menambah pengetahuan berkaitan ilmu tajwid dengan lebih mendalam seterusnya mendapat sanad bacaan Al-Quran bersama para masyaikh yang diiktiraf dunia.
-ZS-