
Laporan/foto: Robani Nabi Ahmad/Mohd Anizan Mat Daud
KOTA BHARU, 20 Sept (Malaysiaaktif) – Walaupun kempen kibar Jalur Gemilang sempena bulan Kebangsaan sudah berlalu, masyarakat di Kampung Padang Lembek tetap bersemangat menyemarakkan aktiviti konvoi berbasikal dan motosikal mengelilingi sekitar kampung bersempena Program JIWA Komuniti Madani@Merdeka di Komuniti Madani Sri Ketereh, Kok Lanas, semalam.

Muhd Nor Aswadi Md. Nor, Pengarah Jabatan Penerangan Malaysia Negeri Kelantan ketika menyampaikan ucapan
Ketua Komuniti Madani Sri Ketereh Fakirulaswadi Derahman, 45, berkata konvoi merdeka basikal dan motosikal ini disertai lebih 100 orang dari pelbagai generasi dan semua pihak yang terlibat menyambut baik serta menunjukkan semangat cintakan negara melalui kibaran jalur gemilang pada program kali ini.
“Selain aktiviti konvoi berbasikal dan motosikal, sebahagian daripada masyarakat di Kampung Padang Lembek turut mengambil peluang memasang dan mengibarkan Jalur Gemilang bagi menyemarakkan kempen kibar Jalur Gemilang,” katanya.
Dalam ucapan perasmian, Muhd Nor Aswadi Md. Nor, Pengarah Jabatan Penerangan Malaysia Negeri Kelantan berkata, golongan muda perlu sentiasa menghayati dan menyayangi kedaulatan negara yang merdeka.

Perarakan kibar Jalur Gemilang turut disertai golongan wanita
“Negara luar yang sedang bergolak mencari kemerdekaan dan kebebasan daripada peperangan serta penderitaan taklukan penjajah, generasi masa kini banyak menggunakan masa bersama gajet dan media sosial,” ujarnya.
Tambahnya, kemajuan teknologi perlu dimanfaatkan sebaiknya, jika dahulu untuk mendapatkan sesuatu berita atau informasi hanya menggunakan medium seperti persuratan, mel atau surat khabar, namun kini teknologi sangat pantas hanya di hujung jari sudah mampu mendapatkan berita dan informasi.
“Generasi muda masa kini perlu merebut peluang menyertai semua aktiviti-aktiviti pada bulan kebangsaan seperti perbarisan dan aktiviti yang mendorong kepada sifat kebersamaan dan perpaduan negara seperti mengambil peluang menyemarakkan semangat patriotik dalam media sosial,” katanya.
-AA-