Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahSelangor

GISBH: PDRM, MAIS dan JAIS Dititah Mengadap Sultan Selangor

By 22 September 2024Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)

GOMBAK, 22 Sep (Malaysiaaktif) – Polis Diraja Malaysia (PDRM), Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) telah dititah menghadap Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berhubung isu Global Ikhwan Services and Business Holdings (GISBH) pada Khamis lalu.

Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari, berkata ia akan disusuli tindakan jitu dan agresif dalam menangani isu berkenaan.

Amirudin bergambar dengan kontinjen Majlis Perbandaran Selayang (MPS) setelah dinobatkan Johan kontinjen terbaik perarakan Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Daerah Gombak.

Beliau berharap, tindakan penguatkuasa agama dan PDRM dapat membanteras salah faham dan kerosakan yang telah dilakukan kumpulan itu.

“Kalau hal ini dimaklumkan lebih awal sudah tentu kita akan bertindak dengan lebih agresif terhadap kumpulan ini terutama berkaitan isu penyelewengan akidah.

“Saya dimaklumkan agak sukar mengesan kegiatan GISBH di peringkat awal kerana mereka mengubah penampilan dalam bentuk perniagaan,” katanya.

Amirudin berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Sambutan Maulidur Rasul peringkat Daerah Gombak di Masjid Jamek Al-Amaniah di sini hari ini.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Tua, berkata ajaran yang didakwa menyeleweng dari Islam sebenar juga hanya dikembangkan dalam kalangan pengikut terdiri ahli keluarga sendiri.

Ujarnya, kegiatan tersebut mula terbongkar selepas terdapat laporan polis diterima membabitkan isu penderaan dan berkaitan.

Menurutnya, pihaknya telah menerima maklumat secara verbal dan perlu mendapatkan maklumat lebih lanjut.

Bagaimanapun, beliau menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan terperinci.

Surau Al-Abrar, Taman Selayang memenangi kategori Sepanduk Terbaik Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Daerah Gombak.

Terdahulu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain memaklumkan PDRM sedang memantau GISBH yang disyaki terlibat dalam kegiatan eksploitasi kanak-kanak.

Katanya, PDRM bersama Jabatan Agama Islam Malaysia (JAKIM) turut berjaya membuat beberapa rampasan ketika operasi dijalankan termasuk risalah-risalah mengandungi elemen-elemen yang dipercayai bercanggah dengan ajaran agama Islam serta barang khurafat.

Semalam, Sultan Sharafuddin Idris Shah menitahkan semua agensi mengambil tindakan segera terhadap kegiatan GISBH.

Baginda, bertitah kelewatan menangani isu tersebut menunjukkan kelemahan dalam aspek pemantauan dan penguatkuasaan hingga menyebabkan masalah menjadi begitu serius dan tidak terkawal.

-ZS-

Tinggalkan komen anda