
Laporan/foto: Noor Shameiza Abd Razak (Kota Setar)/Angkatan Pertahanan Awam Daerah Kota Setar
ALOR SETAR, 24 Sep (Malaysiaaktif) – Sultan Negeri Kedah, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah mencemar duli menziarahi mangsa-mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) Stadium Sultan Abdul Halim (SSAH), Suka Menanti, di sini semalam.
Lawatan Tuanku pada kali ini adalah bagi meninjau, bertanya khabar serta menyampaikan sumbangan barangan dan wang tunai melalui Tabung Amanah Sultan Kedah (TASK) kepada mangsa-mangsa banjir yang di tempatkan di PPS SSAH.

Tuanku Sultan Kedah berkesempatan meninjau dan menyantuni mangsa banjir di PPS SSAH.
Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah Datuk Seri Norizan Khazali, berkata Tuanku Sultan berangkat hadir menziarahi mangsa-mangsa banjir untuk memberi kata-kata semangat kepada kira-kira 170 Ketua Isi Rumah (KIR) yang terpaksa berpindah ke PPS ini.
Menurutnya, melalui tinjauan yang dilakukan sudah banyak kawasan yang airnya telah surut dan membolehkan keluarga yang terlibat untuk pulang ke rumah masing-masing.
“Memandangkan banjir kali ini tidak seteruk tahun 2010 tetapi Tuanku terus berpesan agar mangsa yang terlibat dengan banjir ini sentiasa menjaga kesihatan dan keselamatan diri.
“Secara keseluruhan di Daerah Kota Setar setakat petang ini, seramai 1,608 keluarga telah terjejas akibat banjir dan sebanyak 19 PPS telah dibuka bagi menampung jumlah keluarga yang terlibat dengan banjir,” katanya.

Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah turut menyampaikan sumbangan kepada mangsa banjir.
Norizan turut memuji komitmen yang diberikan oleh pihak berkuasa dalam usaha menyelamat mangsa-mangsa banjir.
“Alhamdulillah dari bermula hari pertama lagi apabila PPS dibuka di kawasan terjejas banjir, semua agensi Kerajaan Negeri serta Persekutuan memberi komitmen yang sangat tinggi dalam memberi bantuan kepada mangsa dan sentiasa bersiap siaga menghadapi bencana banjir ini.
“Lebih kurang 1,700 anggota beruniform telah terlibat dalam gerak kerja serta membantu proses pemindahan terutamanya agihan barangan makanan dan keperluan diri,” katanya.
Turut mengiringi lawatan Tuanku kali ini Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md.Nor, Pegawai Kewangan Negeri Kedah Datuk Syed Khairol Anuar Syed Abidin, Panglima Briged Keenam Infantri Malaysia Brig. Jen. Datuk Saipol Anuar Jaafar, Ketua Polis Kedah, Datuk Fisol Salleh dan Pegawai Daerah Kota Setar Datuk Hakim Ariff Md Noor.
-ZS-