
Laporan/foto: Uraidah Zetti Md Arifin/ Mahadi Mustaffa (Dungun)
DUNGUN, 1 Okt (Malaysiaaktif) – Jabatan Perikanan Malaysia dengan kerjasama Petronas dan Hibiscus Oil & Gas Malaysia telah mengadakan Program Melabuh Tukun Tiruan Rig to Reef di Perairan Pulau Tenggol, di sini kelmarin.
Tukun pelantar minyak atau dikenali sebagai Rig to Reef (R2R) adalah pelantar minyak terpakai yang sudah tidak digunakan dan dijadikan sebagai tukun tiruan di dasar laut untuk menambah kawasan terumbu karang, menyediakan habitat bagi hidupan marin dan membantu pemulihan ekosistem laut.

Pelantar minyak terpakai yang sudah tidak digunakan dan dijadikan sebagai tukun tiruan di dasar laut.
Menurut wakil Hibiscus Oil and Gas Malaysia Lmtd. Hafzy Senusi, pendekatan R2R ini telah digunakan di seluruh dunia termasuk Malaysia bertujuan untuk meningkatkan kepelbagaian biologi laut dan mempromosikan perikanan berkelanjutan, ekoturisme dan usaha-usaha konservasi.
“Malaysia semakin menerima konsep R2R disebabkan oleh kepelbagaian biologi marin yang kaya dan kebergantungan yang tinggi terhadap minyak, gas, dan perikanan.
“Hibiscus dengan kerjasama Jabatan Perikanan dan PETRONAS melalui Pengurus Petroleum Malaysia (MPM) telah bekerjasama secara rapat selama beberapa tahun yang lalu untuk memastikan bahawa penutupan platform luar pesisir kami memberi impak positif kepada alam sekitar,” katanya.
Menurut Hafzy lagi, matlamatnya adalah untuk mengolah struktur pelantar yang tidak lagi digunakan menjadi terumbu buatan yang menyokong ekosistem marin tempatan.

Ketua-ketua jabatan, NGO dan ketua masyarakat setempat bergerak ke lokasi melabuh tukun tiruan R2R di Perairan Taman Laut Pulau Tenggol dengan menaiki bot.
“Pulau Tenggol juga telah diwartakan sebagai Taman Negeri Terengganu dan pewartaan ini bertujuan memelihara ekosistemnya terutama habitat laut dan daratan yang berharga seperti terumbu karang, hidupan marin, serta flora dan fauna yang unik.
“Anggaran keseluruhan projek tukun R2R Hibiscus ini, bermula dari pemunggahan ditapak lokasi, penghantaran ke darat, pengubahsuaian dan operasi melabuh tukun di Pulau Tenggol adalah dalam lingkungan RM 3 juta,” katanya, di sini kelmarin.
Program ini telah dihadiri oleh ketua-ketua jabatan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan ketua masyarakat setempat.
-ZS-