Laporan/foto: Suzira Zainol Abidin (Perak)/MKN Perak
IPOH, 1 Okt (Malaysiaaktif) – Seramai 500 peserta menyertai program Perak NATSEC Fun Run 2024 anjuran Majlis Keselamatan Negara (MKN) Negeri Perak dengan kerjasama Majlis Bandaraya Ipoh (MBI), di sini kelmarin.
Menurut kenyataan MKN Perak, NATSEC yang dijenamakan daripada National Security atau Keselamatan Negara ini digunakan sebagai tanda nama untuk program tersebut bagi menggambarkan kepentingan keselamatan negara kepada masyarakat selain mendokong moto Dasar Keselamatan Negara 2021-2025 iaitu ‘Keselamatan Negara Tanggungjawab Bersama’.
“Program larian sejauh lima kilometer ini bertujuan memberi kesedaran dan pendedahan bahawa tanggungjawab menjaga keselamatan dan kedaulatan negara bukanlah terletak pada pihak kerajaan semata-mata sebaliknya rakyat Malaysia perlu berganding bahu bagi menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang selamat, aman dan berdaulat.
“Program ini juga merupakan tanda sokongan MKN Perak kepada Program Ipoh Car Free Day@Ipoh Low Carbon City anjuran MBI,” menurut kenyataan tersebut.
Sementara itu, peserta Muhammad Nor Affendi Hassan, 26, menzahirkan rasa gembira kerana masih berpeluang untuk turut serta bagi penganjuran program yang sudah memasuki tahun kedua ini.
“Acara larian ini pastinya menyihatkan tubuh badan malah cukup menyeronokkan dapat bersama rakan-rakan dalam aktiviti sebegini selepas penat berkerja,” ujarnya.
Hadir memeriahkan program Datuk Bandar Ipoh Datuk Rumaizi Baharin@Md Daud dan Pengarah MKN Perak Mohd Zawawi Zakaria.
-ZS-