
Laporan/foto: Mohd Sukri Ibrahim/ Shaik Mohamad Fikri Shaik Ismail (Kemaman)
KEMAMAN, 6 Okt (Malaysiaaktif) – Komuniti MADANI Kampung Telok Kalong bersama Pejabat Penerangan Daerah Kemaman telah menganjurkan Program Gotong-Royong Bersih Pantai di Pantai Telok Kalong, di sini kelmarin bertujuan untuk meningkatkan kesedaran awam mengenai kepentingan menjaga kebersihan pantai dalam kalangan pengunjung.

Para peserta bergambar kenangan sebelum memulakan aktiviti gotong-royong
Pengerusi Komuniti MADANI Kampung Telok Kalong, Mohd Hafiz Rajik, 36, berkata program ini bukan sahaja memberi kesedaran, tetapi juga bertujuan mencantikkan kawasan pantai dan memupuk semangat gotong-royong dalam kalangan masyarakat.
“Banyak puntung rokok serta bekas makanan dan minuman telah dikutip. Saya menyeru pengunjung agar turut menjaga kebersihan pantai bagi mengekalkan keindahan dan melindungi ekosistem laut,” katanya.

Peserta yang mengutip sampah paling banyak turut diberikan saguhati
Pekerja kebersihan, Natijah Ngah, 57, yang turut serta dalam program ini, berkata program sebegini penting untuk menjaga keindahan pantai serta mengeratkan hubungan antara komuniti.
“Diharapkan program seumpama ini dapat diteruskan pada masa akan datang untuk memperkukuh hubungan komuniti dan menjaga kelestarian alam sekitar,” ujarnya.
Hampir 50 plastik sampah telah dikutip sepanjang program yang berlangsung selama dua jam.
-AA-