
Laporan/foto: Mohammad Rasuli (Bagan Datuk)/Universiti Selangor
RUNGKUP, 7 Okt (Malaysiaaktif) – Program Jelajah Hari Terbuka Universiti Selangor (UNISEL) yang berlangsung pada 5 dan 6 Oktober di Dataran Bagan Datuk, di sini kelmarin meraih sambutan yang menggalakkan daripada pengunjung.
Presiden dan Naib Canselor UNISEL Prof Datuk Dr. Mohammad Redzuan Othman, berkata program julung kali diadakan di luar negeri Selangor ini menggabungkan dua program iaitu Hari Terbuka UNISEL dan Kelapa Fest Bagan Datuk (KFBD) 2024.

Prof Datuk Dr. Mohammad Redzuan ketika menyampaikan ucapan
“Kedua-dua program ini dijayakan oleh UNISEL dengan kerjasama Persatuan Agro Pelancongan Negeri Perak serta Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW),” katanya.
Tambah beliau, program ini merupakan pendekatan UNISEL untuk turun padang seterusnya menyantuni masyarakat khususnya di sekitar Bagan Datuk bertepatan dengan tema siri jelajah UNISEL iaitu ‘Malaysia MADANI, UNISEL Depani’.
“Melalui program ini, masyarakat akan diperkenalkan tentang UNISEL dan pilihan program yang akan ditawarkan jika memilih melanjutkan pelajaran di sini,” ujarnya.
Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah merangkap Ahli Parlimen Bagan Datuk, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menzahirkan rasa gembira dengan sambutan yang diterima daripada penduduk Bagan Datuk dalam program tersebut.
“Kita akan jadikan program ini sebagai aktiviti tahunan bagi merancakkan lagi industri pelancongan di daerah ini.

Pengunjung melawat reruai yang disediakan sempena Jelajah Hari Terbuka UNISEL
“Saya juga akan memberi sokongan dan membantu agensi terlibat untuk menjayakan program seumpama ini pada masa akan datang,” ujarnya yang hadir merasmikan Majlis Penutup Jelajah Hari Terbuka UNISEL dan KFBD 2024.
Hadir sama Pegawai Daerah Muhamad Ghopran Yeop Hamzah.
-AA-