Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraPerak

NADI Perkasa Masyarakat Celik Digital

By 7 Oktober 2024Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Andi Rahim/Nurul Habibah Hassan (Manjung)

PANTAI REMIS, 7 Okt (Malaysiaaktif) – Dunia pendigitalan yang bergerak pantas hari ini memerlukan masyarakat untuk bergerak seiring dengan perubahan tersebut.

Antara penduduk setempat yang hadir menyertai taklimat NADI

Pengurus Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) Pantai Remis Ikhwan Azmi Ishak, berkata beliau kini dalam proses memberi pendedahan tentang peranan NADI kepada masyarakat setempat memandangkan NADI di Pantai Remis baharu sahaja beroperasi.

“Peranan NADI diperkembang untuk memperkasa komuniti setempat seiring perubahan semasa melalui program-program yang lebih mampan dan relevan bagi merapatkan jurang digital, pengetahuan dan sosio-ekonomi tertumpu kepada pembangunan keusahawanan, e-pembelajaran sepanjang hayat, kesejahteraan kendiri serta mengasuh kematangan tentang penggunaan internet dalam kalangan masyarakat setempat,” ujarnya ketika ditemui pada program Jalinan Insan Wahana Aspirasi (JIWA) anjuran Pejabat Penerangan Daerah Manjung di Dewan Orang Ramai Kampung Sungai Batu, di sini kelmarin.

Tambah beliau, komuniti setempat boleh menjadi ahli NADI seumur hidup dan boleh menikmati pelbagai kemudahan yang disediakan dengan yuran keahlian RM5 sahaja.

“Mereka yang menghadiri taklimat hari ini pula ditawarkan menjadi ahli seumur hidup secara percuma dengan hanya mengisi borang,” katanya.

Muhamad Nazri Omar berkongsi pengalamannya

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Sungai Batu Muhamad Nazri Omar, 60, turut mengakui selama ini dia hanya mempunyai sedikit maklumat tentang peranan NADI.

“Sebagai pemimpin masyarakat, taklimat daripada pihak NADI sangat membantu saya untuk berhadapan dengan komuniti yang semakin kompleks pemikirannya dengan pelbagai permintaan dan kemahuan, seperti bantuan untuk pendaftaran MyDigital ID.

“Saya berharap dengan beroperasinya NADI di pekan Pantai Remis akan dapat membantu masyarakat setempat menjadi lebih celik digital,” katanya.

NADI yang dijenamakan semula daripada Pusat Ekonomi Digital (PEDi) ditubuhkan bertujuan untuk kemudahan capaian internet kepada masyarakat setempat, memberi pendedahan mengenai teknologi komputer dan internet, seterusnya membantu meningkatkan taraf ekonomi dan sosial masyarakat melalui kemudahan dan aktiviti yang disediakan di NADI.

-AA-

Tinggalkan komen anda