
Laporan/foto: Mohd Suhaizad Abd. Samad
ROMPIN, 12 Okt (Malaysiaaktif) – Sambutan Hari Sukan Negara (HSN) 2024 Peringkat Daerah Rompin telah berlangsung dengan meriah dan jayanya menyemarakkan semangat kesukanan di Dataran Pantai Hiburan, Kuala Rompin, di sini, hari ini.

Antara wakil-wakil jabatan yang telah bersama-sama memeriahkan program Sambutan HSN 2024 Peringkat Daerah Rompin
Menurut Pegawai Daerah Rompin Muhamad Hatta Kasim sambutan Hari Sukan Negara (HSN) bertujuan untuk meningkatkan kesedaran tentang kepentingan aktiviti fizikal dan sukan dalam kehidupan seharian di samping memberi peluang kepada masyarakat untuk bersama-sama menyertai pelbagai acara dan aktiviti sukan, tanpa mengira usia dan latar belakang.
“Sambutan HSN 2024 juga menggalakkan penglibatan masyarakat dengan mengajak semua lapisan masyarakat untuk menyertai aktiviti yang dianjurkan.

Acara berbasikal turut mendapat sambutan yang meriah di kalangan penduduk Rompin
“Ini termasuklah institusi pendidikan, organisasi kerajaan dan badan bukan kerajaan yang mana penglibatan ini bukan sahaja dapat mengeratkan hubungan sosial, tetapi juga memperkukuh semangat patriotisme dan perpaduan,” ujarnya sewaktu berucap merasmikan sambutan Hari Sukan Negara 2024 Peringkat Daerah Rompin.
Di akhir ucapannya pagi tadi, beliau turut menyeru seluruh masyarakat di Rompin menjadikan Hari Sukan Negara 2024 sebagai satu platform untuk mempromosikan kehidupan sihat dan semangat kesukanan di daerah Rompin.
“Dengan pelbagai aktiviti yang dirancang, diharapkan lebih ramai penduduk Rompin akan mengambil bahagian dan menyedari kepentingan sukan dalam meningkatkan kesejahteraan hidup.
“Mari bersama-sama menyokong sambutan ini dan menggalakkan budaya aktif dalam kalangan masyarakat,” katanya.
Beliau turut melepaskan 1,000 orang peserta ‘Fun Run’ dan 250 orang peserta berbasikal sebagai simbolik kepada acara Sambutan Hari Sukan Negara 2024 Peringkat Daerah Rompin yang dianjurkan oleh Pejabat Belia dan Sukan Daerah Rompin dengan Kerjasama Majlis Daerah Rompin.
-AA-