Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraPerlis

Hari Sukan Negara Membentuk Masyarakat Cergas, Produktif dan Bersatu Padu

By 12 Oktober 2024Tiada komen3 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Anuar Che Amat

KANGAR, 12 Okt (Malaysiaaktif) – Hari Sukan Negara membuktikan keprihatinan kerajaan dalam mengiktiraf kepentingan sukan dalam membentuk masyarakat yang cergas, produktif dan bersatu padu. Ianya telah dijadikan sebagai agenda nasional dalam menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara bersukan atau “sporting nation”.

Timbalan Perdana Menteri beramah mesra dengan orang ramai yang hadir di Hari Sukan Negara Peringkat Negeri Perlis 2024

Timbalan Perdana Menteri, YAB Dato’ Sri Haji Fadillah bin Haji Yusof, berkata penganjuran Hari Sukan Negara telah di sambut selama sedekad, sejak kali pertama diperkenalkan pada tahun 2015 bertujuan meningkatkan penglibatan aktif rakyat Malaysia selaras dengan strategi yang digariskan di bawah Visi Sukan Negara 2030 dan Kerangka Malaysia Madani.

Beliau menyatakan demikian ketika merasmikan Sambutan Hari Sukan Negara Peringkat Negeri Perlis 2024 bertempat di Pekarangan Stadium Tuanku Syed Putra Kangar hari ini.

Turut hadir Menteri Besar Perlis, YAB Tuan Mohd Shukri Ramli dan Ketua Pengarah, Majlis Sukan Negara (MSN), YBrs. Tuan Haji Abdul Rashid Yaakub serta Pengarah ICU Perlis, YBrs. Puan Maznah Musa dan Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Perlis, YBrs. Encik Musa Salim

“Sejak tahun 2015 hingga 2023, penganjuran Hari Sukan Negara telah mencatatkan penyertaan seramai 36 juta orang. Selain itu, Indeks Budaya Sukan Malaysia (IBSM) menunjukkan domain skor penglibatan rakyat dalam sukan telah meningkat kepada 52% pada tahun 2023 berbanding 48% pada tahun 2022,” ujarnya.

Timbalan Perdana Menteri melepaskan para peserta Fun Run dan Fun Walk di Program Sambutan Hari Sukan Negara Peringkat Negeri Perlis 2024

Tambah Fadillah lagi, bagi merakyatkan sukan dalam kalangan pemegang taruh berkepentingan, kerajaan juga telah memperuntukkan sebanyak RM70 juta bagi menjayakan inisiatif berbentuk geran padanan (matching grant) menerusi Geran Padanan Sukan dan Dana Sukan Komuniti yang digerakkan melalui kaedah pemberian bantuan pelaksanaan program sukan pelbagai peringkat termasuk di negeri Perlis.

Dengan mengetengahkan tema #CergasBersama, KBS menerusi Jabatan Belia dan Sukan Negara (JBSN) telah menganjurkan pelbagai program dan aktiviti sukan dan rekreasi selaras dengan kerangka Malaysia MADANI dan Visi Sukan Negara 2030 (VSN 2030). Aktiviti sukan dan rekreasi ini dianjurkan di seluruh negara merangkumi peringkat daerah, negeri dan kebangsaan dengan sasaran penyertaan keseluruhan seramai 4.5 juta orang.

“Saya akan memastikan menjelang Ucapan Belanjawan 2025 yang akan dibentangkan pada penghujung bulan Oktober ini, pembangunan sukan yang mampan ini terus diberi perhatian khusus dengan pelbagai inisiatif dan peruntukan yang akan dimaklumkan kelak.

Bagi peringkat negeri Perlis, pelbagai aktiviti acara sukan dan rekreasi telah berlangsung antaranya larian ria, berjalan santai, aktiviti kecergasan, pameran jabatan, agensi kerajaan dan swasta atau NGO serta banyak lagi dengan penyertaan mencecah 7,000 orang.

Tinggalkan komen anda