
Laporan/foto: Mohammad Rasuli (Bagan Datuk)/APM Bagan Datuk
RUNGKUP, 19 Okt (Malaysiaaktif) – Fenomena air pasang besar yang melanda Bagan Datuk, di sini pagi ini menyebabkan beberapa lokasi di daerah ini terjejas akibat kenaikan paras air sehingga 3.4 meter.

Anggota APM membuat pemantauan paras air di sekitar Bagan Datuk.
Menurut Pegawai Pertahanan Awam Malaysia Daerah Bagan Datuk Kapten (PA) Mohd Fazly Mohamad Zawawi, pemantauan anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) mendapati lokasi yang terlibat adalah Pekan Bagan Datuk, Kampung Sungai Burung, Kampung Sungai Tiang, Kampung Sungai Dulang dan Kampung Tanah Lalang.
“Beberapa rumah telah dimasuki air namun situasi masih terkawal dan tiada keperluan untuk pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka.
“Kemalangan jiwa juga tiada dan mangsa terjejas memilih untuk menumpang sementara di rumah keluarga masing-masing,” ujarnya.

Pegawai APM memantau paras air di lokasi lot kedai dan booth yang ditenggelami air.
Walau bagaimanapun, mangsa terlibat diminta untuk mematuhi arahan sekiranya diarahkan untuk berpindah ke PPS.
“Orang awam juga dinasihatkan agar peka dengan hebahan maklumat yang disebarkan melalui media sosial supaya tidak ketinggalan dari mendapat maklumat terkini.
“Kami akan melaksanakan pemantauan berterusan demi faktor keselamatan dan orang awam diminta untuk menghubungi Malaysian Emergency Response Services (MERS) di talian kecemasan 999 jika memerlukan bantuan,” ujarnya ketika dihubungi melalui panggilan telefon.
-ZS-