
Laporan/foto: Sunday Grace Justimus (Sabah)
KOTA KINABALU, 21 Okt (Malaysiaaktif) – Program Jom Exchange Al-Quran (JEQ) berjaya menarik perhatian ramai masyarakat setempat semasa dianjurkan pada Program MADANI Rakyat (PMR) 2024 di Kompleks Sukan Likas Kota Kinabalu pada 18 hingga 20 Oktober lalu.
Salah seorang pengunjung Mastiah Mansor, 69, ketika ditemui, berkata program JEQ wajar diteruskan untuk tahun mendatang dan berharap ianya dapat diperluaskan ke seluruh negeri Sabah.

Mastiah (pertama dari kanan) bersama rakannya.
“Inisiatif seperti ini sangat membantu umat Islam di Sabah ini untuk sentiasa peka dengan isu yang melibatkan penggunaan naskah al-Quran yang sahih agar pembelajaran dengan Al-Quran ini dapat dilakukan dengan lebih mudah.
“Saya berharap program ini dapat diteruskan pada masa akan datang, agar setiap individu dan masyarakat beragama Islam di negeri ini mempunyai naskah al-Quran yang telah disahkan dan boleh menukarnya jika ianya berada dalam keadaan koyak atau lusuh,” kongsinya di sini pada Sabtu.
Sementara itu, program anjuran Bahagian Penguatkuasaan dan Kawalan, Kementerian Dalam Negeri (KDN) itu juga adalah komitmen padu pihak berkuasa bagi meningkatkan kesedaran umat Islam terhadap pentingnya memelihara kesucian kitab al-Quran.
Menurut Pegawai Penguatkuasa Bahagian Penguatkuasaan dan Kawalan, Mohd Rais, program JEQ mendedahkan kepada orang awam usaha serius yang dijalankan di peringkat kementerian untuk membanteras sebarang penerbitan naskhah al-Quran tanpa perakuan KDN.

Mohd Rais.
“Bahagian Penguatkuasaan dan Kawalan KDN mengambil langkah tegas dalam mengawal penerbitan dan pengedaran al-Quran di Malaysia. Ini selaras dengan usaha KDN untuk menghapuskan penerbitan yang tidak sah serta pengedaran naskhah al-Quran yang tidak mematuhi peraturan.
“Program JEQ ini juga memberi banyak manfaat kepada masyarakat terutama dalam memastikan kualiti dan integriti al-Quran terjaga, saya berharap jika program ini dianjurkan, orang ramai, khususnya mereka yang memiliki al-Quran tanpa kelulusan KDN atau yang sudak rosak datang menukarkannya dengan naskhah baharu yang semestinya telah diperakui pihak KDN,” jelasnya.
Untuk rekod, di bawah Akta Pencetakan Teks Al-Quran 1986 (Pindaan 2023), sekiranya disabitkan kesalahan, individu terlibat boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM500,000 atau penjara sehingga maksimum lima tahun atau kedua-duanya.
-ZS-