
Laporan/foto: Md Khairul Azad Yunus/Jeffrey Nian (Labuan)
LABUAN, 26 Okt (Malaysiaaktif) – Program Gotong-Royong Perdana Labuan 2024 atau Go-Ro Labuan 2024 anjuran Perbadanan Labuan bukanlah bersifat one-off semata-mata.
Menurut Pengarah Jabatan Perkhidmatan Perbandaran, Perbadanan Labuan Gilbert Chin Hsing Lin program itu sebagai salah satu usaha serta inisiatif quick win yang boleh dilaksanakan dalam memastikan kelestarian alam sekitar.

Gilbert (tengah) semasa menyertai Go-Ro Labuan 2024 di sekitar kawasan bandar Labuan.
“Tanggungjawab untuk menjaga kebersihan persekitaran dan alam sekitar adalah tanggungjawab bersama dan seharusnya kita sentiasa berganding bahu dalam memastikan status Wilayah Persekutuan Labuan sebagai pulau yang bersih dapat kita kekalkan.
“Program Gotong-Royong Perdana Labuan 2024 kali ini juga melibatkan 26 kampung yang diterajui oleh Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung atau JPKK yang sudi untuk sama-sama menjayakan program kali ini,” katanya semasa merasmikan program itu di sini pagi tadi.
Beliau turut menyarankan warga Labuan untuk sama-sama menyokong amalan kitar semula.
“Perbadanan Labuan juga telah menubuhkan sebuah Pusat Pengumpulan Kitar Semula secara pandu lalu yang kita dirikan bersebelahan dengan Anjung Selera Durian Tunjung.

Para peserta Go-Ro Labuan 2024 bergambar kenangan.
“Pusat ini telah mula beroperasi sejak pertengahan tahun ini dan membuka peluang dan memberi kemudahan kepada masyarakat Labuan untuk melupuskan bahan kita semula dalam kawasan yang selesa,” katanya.
-ZS-