Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraPerak

Sesi Review Banci Pertanian 2024 Membantu Penyusunan Perancangan Lebih Efisien

By 28 Oktober 2024Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Hanizatul Azwa (Hilir Perak)/DOSM Teluk Intan

TELUK INTAN, 28 Okt (Malaysiaaktif) – Sesi Review Data Awalan Operasi Banci Pertanian 2024 merupakan salah satu langkah penting bagi memastikan kualiti data yang dikumpul dapat disahkan bersama agensi di samping membantu dalam penyusunan perancangan yang lebih efisien.

Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) Perak menganjurkan sesi review (semakan) tersebut bersama agensi pertanian di daerah Hilir Perak, di sini kelmarin bagi menilai dan memantapkan data awalan yang dikumpulkan sepanjang pelaksanaan operasi banci.

Ketua Penolong Pengarah DOSM Perak Suraimey Sulaiman, berkata sesi ini adalah usaha berterusan untuk mengumpul data terperinci berkaitan aktiviti pertanian dan akan digunakan untuk analisis mendalam bagi mempertingkat daya saing sektor pertanian Malaysia di peringkat antarabangsa.

Kesemua peserta bergambar kenangan.

“Pada tahun ini DOSM akan mengeluarkan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) bagi setiap daerah dan salah satu indikator yang dimasukkan meliputi aspek tanaman, perikanan, akuakultur dan ternakan,” ujarnya ketika sesi pembentangan.

Fokus utama sesi ini adalah untuk mengesahkan data awalan yang telah dikumpul bagi memastikan ketepatan maklumat bilangan liputan (awalan) berkaitan tempat kediaman dan pertubuhan perniagaan, jenis tanaman, jumlah ternakan, hasil perikanan serta beberapa input lain melibatkan sektor pertanian di daerah.

Sementara itu, peserta daripada Jabatan Kemajuan Orang Asli Ostini Erna Abdul Wahab, berkata sesi ini memberi output yang lebih jelas dan tepat kepada agensi terlibat selain dapat mengeratkan hubungan silaturahim sesama agensi.

“Kerjasama erat antara agensi sangat penting dalam memastikan segala maklumat yang dikumpul adalah tepat dan sistematik sekali gus membantu memudahkan pelaksanaan program di daerah,” ujarnya.

Ketua Pejabat Operasi DOSM Teluk Intan Norita Ali Othman (kiri) ketika menyantuni peserta program.

Dalam sesi tersebut, selain penerangan berkenaan kaedah penambahbaikan dalam pengumpulan data, pihak agensi turut memberi maklum balas dan cadangan untuk penambahbaikan operasi banci pada masa hadapan khususnya dalam aspek logistik dan pengumpulan maklumat lapangan.

-ZS-

Tinggalkan komen anda