Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraPerak

Belanjawan 2025: Kesejahteraan Rakyat Tanda Keprihatinan Kerajaan

By 28 Oktober 2024Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Suzira Zainol Abidin/Lina Shukri

IPOH, 28 Okt (Malaysiaaktif) – Pembentangan Belanjawan 2025 yang diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini nyata mendapat reaksi positif rakyat negara ini.

Bagi Shamsudin Adjis, 42, dari Komuniti MADANI RPS Banun, peruntukan sebanyak RM380 juta yang diumumkan kepada Orang Asli menandakan sifat keprihatinan kerajaan kepada rakyat khususnya kaum ini.

“Tahniah dan terima kasih kerana banyak membantu dalam meningkatkan taraf hidup komuniti kami.

“Besarlah harapan kami agar peruntukan yang disediakan ini dapat dibelanjakan secara telus dan keseluruhan Orang Asli dapat merasai bantuan yang diberikan ini sama rata,” katanya.

Sementara itu, penambahan peruntukan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) antara yang menjadi bualan kerana bantuan itu amat bermanfaat dalam mendepani peningkatan kos sara hidup.

Seorang penerima STR bagi kategori bujang, Nur Izzati Mohd Yunus, 22, berkata bantuan itu sedikit sebanyak meringankan beban yang dipikul.

Nurin Aina berkata insentif bayaran lesen motosikal antara manfaat kepada belia

“Sebagai anak sulung yang menjadi tulang belakang keluarga, menjadi tanggungjawab saya untuk membantu ayah yang tidak mempunyai pendapatan tetap sementara ibu pula suri rumah sepenuh masa.

“Namun, tidak dinafikan kenaikan harga barang yang kian meningkat selain kos sara hidup keluarga yang makin bertambah di samping komitmen peribadi yang perlu ditanggung memerlukan perbelanjaan yang lebih besar.

“Walaupun begitu, saya tetap bersyukur dan akan menggunakan bantuan yang diberikan secara berhemah,” ujarnya ketika dihubungi, semalam.

Bagi pelajar, Nurin Aina Darwisya Abdul Majid, 17, insentif kerajaan untuk menampung bayaran lesen motosikal seramai 15,000 anak muda kurang mampu merangkumi murid sekolah menengah, mahasiswa dan belia mencari kerja juga antara manfaat besar kepada belia.

“Insentif ini membantu seseorang individu tersebut yang rata-ratanya masih belajar atau baru berkerja untuk mendapatkan lesen motosikal.

“Pelajar juga lebih bertanggungjawab kepada diri sendiri dengan tidak membebankan ibu bapa yang perlu menanggung kos bayaran lesen tersebut,” ujarnya.

-AA-

Tinggalkan komen anda